KOTA KINABALU, 4 April 2024 – UiTM Cawangan Sabah Prihatin menganjurkan program gotong royong memasak dan mengagihkan Bubur Lambuk Semarak Ramadan #UiTMSabahPrihatin serta Perasmian Penutupan Ihya Ramadan 1445H/2024M di Pusat Kegiatan Pelajar, UiTM Cawangan Sabah.
Kemeriahan program ini disertai oleh 45 sukarelawan yang terdiri dari staf UiTM Cawangan Sabah, Pelajar UiTM Cawangan Sabah dan isteri staf UiTM Cawangan Sabah (Ahli PEWANI). Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, Warga UiTM Cawangan Sabah, bersama-sama dalam menjayakan program anjuran bersama Unit Hal Ehwal Islam, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kewangan,PTAR, MPP, JPK serta penglibatan Persatuan Dalaman UiTM Cawangan Sabah, Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) dan Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI) UiTM Cawangan Sabah.
Program ini telah menghasilkan 1200 bungkusan Bubur Lambuk yang telah di agihkan kepada Warga UiTM Cawangan Sabah. Yang Berusaha Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed, turut sama memasak, membungkus dan mengagihkan bubur kepada Warga UiTM Cawangan Sabah dan komuniti setempat. Agihan Bubur Lambuk ini turut dipanjangkan ke komuniti setempat iaitu kepada penduduk di Kampung Lokub dan Kampung Unggun, Sepanggar.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:
“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” – Hadis Riwayat al-Tirmidzi.
Majlis diakhiri dengan Penutup Ihya Ramadhan dengan penyampaian hadiah Pertandingan Al-Fatihah Challenge yang disertai oleh staf dan anak-anak staf serta pelajar UiTM Cawangan Sabah.