Kursus Pengurusan Kewangan Masjid Jajahan Pasir Mas

KOTA BHARU, 29 FebruariĀ – Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan jayanya telah mengadakan Kursus Pengurusan Kewangan Masjid Jajahan Pasir Mas bagi kali yang ke-11 bertempat di H Elite Hotel Kota Bharu pada 23 Februari 2024. Kursus ini merupakan kursus yang terakhir diadakan oleh Fakulti Perakaunan dan MAIK bagi melengkapkan 10 jajahan di seluruh negeri Kelantan sebagaimana yang telah dimeterai dalam perjanjian di antara kedua-dua pihak sejak tahun 2019.

Menurut Pengarah Projek kursus ini iaitu Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki, kursus terakhir ini merupakan kursus yang paling ramai dihadiri pentadbir masjid melibatkan 273 pentadbir masjid dari 91 mukim masjid. Ia bertujuan untuk memartabatkan kembali masjid yang bukan sahaja dipandang tinggi kerana fungsinya sebagai pusat agama bahkan juga kerana kompetensi pentadbir-pentadbirnya. Kursus ini berlangsung selama dua hari dari 23 Februari sehingga 24 Februari 2024. Pengisian hari pertama seperti biasa, pentadbir masjid didedahkan dengan topik integriti dalam pengurusan masjid serta sistem perakaunan masjid.

 

Hari kedua kursus, pentadbir masjid didedahkan dengan tatacara pengurusan kewangan masjid yang telah dibina hasil kerjasama MAIK dan Fakulti Perakaunan. Bagi memastikan pentadbir masjid dilengkapi dengan teknologi yang terkini, pentadbir masjid juga diperkenalkan dengan Sistem Perekodan Masjid (SPM) bagi memudahkan mereka merekod transaksi masjid dengan lengkap dan telus.

Sebagai penutup, peserta-peserta diraikan dalam majlis penutup dengan majlis penyampaian sijil kepada semua peserta dan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz. Majlis penutup turut dihadiri Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan Dr. Nik Zam Nik Wan, Timbalan Pengarah Projek Dr. Wan Zurina Nik Abdul Majid serta tetamu terhormat MAIK antaranya Encik Ridhwan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Baitulmal MAIK dan Encik Rosli Mohammad, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam MAIK.