MACHANG, 28 Februari – Kolej Pengajian Seni Kreatif telah berkolaborasi dengan Institusi Teknologi Bandung (ITB) dan Selasar Sunaryo Art Space, Bandung, Indonesia mengadakan ‘International Lecture Series, The Art Talk’ di Selasar Pavillion, Selasar Sunaryo Art Space, Bandung, Indonesia pada 25 Februari 2024. Dengan tema ‘Unveiling the Artistic Interconnections between Indonesia and Malaysia Narratives within ASEAN’s cultural tapestry’, acara ini telah mendapat sambutan dari komuniti setempat dalam menerokai jaringan artistik antara dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia.
Penceramah utama, Encik Mohd Shahrul Hisham Ahmad Tarmizi adalah pensyarah Pengajian Seni Halus dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan. Topik ucaptama yang disampaikan bertajuk ‘Bridging Cultural Divides: Nusantara Art in a Global Context’ oleh Prof. Madya Dr. Mumtaz Mukhtar, Ketua Pengajian Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM (Shah Alam) dan ‘Art Education and Innovation: Fostering Creativity in Nusantara’ oleh Dr. Sharmiza Abu Hassan, Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Kampus Alor Gajah Melaka. Manakala, undangan khas dari Institut Teknologi Bandung (ITB) diwakili oleh Dr. Agung Hujatnika yang juga merupakan Kaunselor di Yayasan Selasar Sunaryo.
Program ini juga telah membuka peluang kepada UiTMCK untuk bertemu dengan pentadbir akademik dari Darul Hikam Elementary School yang membawa kepada perkongsian dan pengumpulan maklumat untuk peluang kerjasama pada masa hadapan. Program ini juga telah memanifestasikan satu harapan untuk kelestarian nilai, budaya dan jati diri melalui perkongsian aspirasi seni kreatif dan pembentukan gaya pembelajaran yang menekankan gabungan alam dan keilmuan dalam mencapai hasil pembelajaran yang holistik.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat membuka lebih banyak lagi peluang untuk mahasiswa di UiTM dan juga para ahli akademik yang lain untuk meneroka dan mengambil peranan dalam menyebarluaskan cabang ilmu dalam bidang seni kreatif. Semoga usaha berterusan pihak UiTMCK ini dapat menghasilkan graduan yang berkualiti dengan nilai modal insan positif yang pada masa akan datang mampu mengangkat UiTM untuk mencapai kecemerlangan global.