SHAH ALAM, 17 JANUARI 2024 – Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Teknologi MARA sesi 2023/2024 telah dilaksanakan secara serentak dari 8 Januari hingga 17 Januari 2024 di seluruh kampus UiTM se-Malaysia. Tujuan utama PRK ini dijalankan setiap tahun adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam proses demokratik di kampus dan memberikan hak kepada mahasiswa untuk memilih wakil-wakil di peringkat Kolej Pengajian/Fakulti yang akan memperjuangkan kepentingan dan keperluan mahasiswa secara keseluruhan.
Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ini adalah kali pertama PRK dijalankan sepenuhnya oleh mahasiswa. Pilihan raya kampus yang dijalankan sepenuhnya oleh mahasiswa menyediakan platform yang unik dan membolehkan mahasiswa untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pentadbiran universiti. Melalui proses ini, mahasiswa dapat melatih kemahiran demokratik, menghargai nilai kepimpinan, dan memahami betapa pentingnya peranan mereka dalam membentuk masa depan kampus. PRK yang dijalankan oleh mahasiswa secara sendiri bukan sahaja menyokong kepelbagaian pendapat dan aspirasi di kalangan pelajar, tetapi juga memupuk budaya demokratik yang boleh berkekalan dan memberikan impak yang positif terhadap kehidupan kampus.
PRK UiTM se-Malaysia telah menghimpunkan 333 orang calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dari pelbagai kampus, Kolej Pengajian dan Fakulti yang berbeza. Pada 17 Januari, seramai 174 orang calon telah terpilih sebagai JPP UiTM se-Malaysia sesi 2023/2024 menerusi sistem undian yang telah ditetapkan. Peratus pengundian akhir bagi UiTM se-Malaysia dalam PRK kali ini adalah 71.51% iaitu sebanyak 143,550 pengundi. Pada PRK kali ini juga sejarah tercipta apabila JPP bagi UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor bergerak secara autonomi dengan pentadbiran masing-masing.
Menurut Mohammad Noridham Norasmawi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP) sesi 2023/2024, “Kami teruja melihat semangat dan kesungguhan mahasiswa dalam menjayakan PRK UiTM pada kali ini. Ini adalah manifestasi nyata daripada keinginan mereka untuk berperanan secara aktif dalam menyumbang kepada pembangunan kampus dan memperkukuhkan budaya demokrasi dalam kalangan mahasiswa.” Beliau menambah, “Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah memberikan dorongan dan sokongan kepada inisiatif meningkatkan peranan mahasiswa dalam agenda pemerkasaan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi negara. Proses PRK dilaksanakan sepenuhnya oleh mahasiswa dan Bahagian HEP bertindak sebagai pemantau dan pemudah cara”.
Secara keseluruhan, PRK memainkan peranan yang amat penting dalam membina komuniti kampus yang dinamik dan memberikan keupayaan kepada mahasiswa untuk menjadi warga kampus yang bertanggungjawab dan berkesan dalam masyarakat.