Tanggal 10 Disember 2023 yang lalu, Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program ‘Riding CEO 2.0’, bertempat di Dewan Indera Segara (DIS). Program kali ini melibatkan semua pelajar Diploma Perakaunan dan siswa siswi Kampus Jengka. Seramai lebih 600 pelajar telah memenuhi dewan selama hampir empat jam untuk bersama dengan para tetamu yang diundang. ‘Riding CEO 2.0’ merupakan program kedua yang melibatkan kehadiran beberapa CEO ke Kampus Jengka untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pelajar. Kali pertama dianjurkan sekitar awal 2019 oleh jawatankuasa PERSIDA ketika itu.
Program yang berkonsep mesra dan santai ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu pertama, ceramah motivasi dan halatuju pelajar, yang disampaikan oleh En. Azmiruddin Mohd Zaman – Ketua Eksekutif Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Syarikat Ranhill, yang juga merupakan alumni UiTM. Manakala sesi kedua berbentuk forum melibatkan seorang pelajar sebagai moderator, iaitu Saudara Muhammad Aiman Mohd Azri bersama empat orang tetamu jemputan iaitu En. Azmiruddin Mohd Zaman (CPO Ranhill Group), En. Ahmad Dasuki Abdul Majid (CEO PTPTN), En. Suhazi Reza Selamat (CEO UOB Islamic Asset Management), dan En. Ozarizan Mohd Nor (Pengurus Besar Manis FM).
Dalam sesi forum, setiap tetamu berkongsi pengalaman masing-masing dari zaman belajar hingga pencapaian mereka yang terkini. Mereka turut berkongsi berkaitan halatuju pelajar, peluang kerjaya, temuduga dan jawatan yang bersesuaian. Turut diselitkan, aspek keusahawanan dan motivasi diri. Forum yang berlangsung selama hampir dua jam termasuk sesi soal jawab itu telah memberi peluang kepada pelajar mendengar sendiri tips dan nasihat yang bermanfaat daripada keempat-empat tetamu jemputan, yang merupakan pakar dalam industri dan pemimpin tertinggi dalam organisasi masing-masing.
Secara keseluruhan program ini telah memberi impak yang besar kepada universiti, pelajar dan PERSIDA sebagai penganjur. Di peringkat universiti dan Kampus Jengka, program ini membantu pancapaian matlamat SDG ke 4, iaitu Pendidikan Berkualiti. Ilmu bukan semata-mata dapat dipelajari dalam kuliah, malah banyak yang dapat dipelajari oleh peserta hasil perkongsian para tetamu, termasuk menjadikan mereka lebih terbuka dalam memilih haluan selepas tamat belajar. Bagi jawatankuasa penganjur yang terdiri dari pelajar Diploma Perakaunan bahagian 1 dan 3 pula, program ini membuktikan usia yang muda tidak menghalang mereka untuk berjaya dalam pengendalian program yang melibatkan beberapa tokoh yang berpengaruh dalam industri. Hal ini membantu mengharumkan nama UiTM dan secara tidak langsung mampu menaikkan kebolehpasaran graduan.