8 November 2023 – Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE), UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menerima kunjungan lawatan akreditasi dari Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) selama 2 hari bermula pada 8 hingga 9 November 2023. Objektif utama lawatan ini adalah bertujuan mendapatkan kelayakan dan pengikhtirafan akreditasi bagi Program Diploma Kejuruteraan Elektrik yang ditawarkan di UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) iaitu:
1. Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) – CEEE111/ EE111
2. Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) – CEEE112/ EE112
Seramai 7 orang panel penilai telah hadir ke UiTMCPP yang diketuai oleh Assoc. Prof. Ir. Dr. Chong Chien Hwa (selaku Ketua Delegasi). Prof. Ir. Dr. Anuar bin Mat Safar (Ketua Penilai), Prof. Dr. Azremi bin Abdullah Al-Hadi dan En. Mohd Rohaidzat bin Ridzwan merupakan panel penilai bagi CEEE111 manakala Prof. Ir. Dr. Muzamir bin Isa (Ketua Penilai), Prof. Ir. Dr. Gan Chin Kim dan Ir. Dr. Hafizi bin Zakaria merupakan panel penilai bagi CEEE112.
Lawatan akreditasi ini berpaksikan kepada pencapaian program yang ditawarkan di UiTMCPP berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan di dalam Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) Standard 2020. Kelayakan dan pengikhtirafan yang diberikan oleh LJM ini akan melayakkan para pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik bergraduat dengan gelaran Pembantu Jurutera.
Seluruh warga PKE telah bertungkus lumus dalam menyediakan segala bukti yang diperlukan oleh para panel penilai. PKE juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kpd semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, terutamanya Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) yang diketuai oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali (selaku Rektor UiTMCPP) bersama Timbalan-timbalan Rektor, Bahagian Pentadbiran, Unit Korporat, Bahagian Pengurusan Fasiliti, Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd Noor selaku penyelaras Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UiTM Negeri (JKKPN), Pejabat Bendahari, Perpustakaan Tun Abdul Razak, Unit Kolej, Unit Kesihatan, Unit Sukan dan Unit Kenderaan.
PKE juga turut berterima kasih atas kehadiran para panel penilai. Segala ulasan yang diberi akan diperhalusi oleh PKE dalam memastikan program yang ditawarkan terus seiring dengan kehendak kerajaan melalui LJM. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PKE di atas segala usaha gigih dan penglibatan secara komited bagi memastikan kelangsungan program diploma yang ditawarkan. Moga PKE terus kekal komited dalam melahirkan golongan bumiputera professional yang dinamisme dan bertaraf dunia.