UiTM Membangkit Minat Anak Muda Kepada Keunikan Teknologi

Shah Alam, 4 Disember 2023 – Sebuah program berkonsepkan “Smart Learning” telah dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA Shah Alam dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, Shah Alam. Program ini merupakan sebahagian dari inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Program di bawah bimbingan Puan Wan Athirah Wan Endut dan Dr Jasber Gian Singh ini telah melibatkan seramai 50 mahasiswa KPPIM serta hampir 300 murid SK Padang Jawa. Sesi dimulakan dengan ceramah kesedaran berkaitan buli siber bertajuk “Katakan Tidak Kepada Buli Siber!”, diikuti dengan perbincangan mengenai “Etika Penggunaan Media Sosial”. 

 Program kemudiannya bertumpu kepada bengkel multimedia bagi murid Tahun 5 yang bertempat di surau sekolah. Melalui bengkel tersebut, murid telah dilatih dengan ciri-ciri perisian Canva. Sesi ini telah mendapat respon positif daripada guru-guru, malah peserta dikalangan murid-murid kelihatan amat teruja. En. Muhammad Amirul Syahid, guru SK Padang Jawa berpandangan pengisian program oleh pelajar UiTM amat relevan bagi meningkatkan kemahiran digital di kalangan murid-murid sekolah. 

Aktiviti lain yang turut dijalankan ialah bengkel pengaturcaraan menggunakan Python serta demonstrasi projek berteraskan IoT. Reruai pameran ICT turut diadakan di Laman Seri Bestari sebagai sebuah inisiatif untuk menarik minat murid serta guru terhadap kemajuan bidang pengkomputeran. En. Mohd Salahuddin bin Nayan, Guru Besar SK Padang Jawa amat menghargai dan menyokong usaha murni UiTM dalam memberikan inisiatif pendidikan secara kondusif di sekolah tersebut.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.