Ipoh, 24 November 2023 – Seramai 28 orang mahasiswa Pendidikan Sains (Kimia) Semester 5, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah pun mengadakan program dan aktiviti ke negeri Perak selama 3 hari bermula 24 hingga 26 November 2023 bagi memenuhi sebahagian keperluan kursus Methods of Teaching Science (SCE550). Turut bersama adalah seorang pensyarah pengiring, Encik Mohamad Hisyam Ismail yang juga pensyarah kursus tersebut bagi memastikan matlamat utama program tercapai. Antara matlamat utama program adalah seperti berikut:
- Menyumbang kepakaran dan bakti kepada masyarakat sekeliling dengan melaksanakan aktiviti yang bermanfaat melalui Pendidikan STEM serta mengeratkan hubungan kerjasama antara pengurusan Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman serta mahasiswa Fakulti Pendidikan, UiTM
- Meneroka dan mengaplikasi ilmu pengetahuan Pendidikan STEM melalui konsep-konsep sains yang terlibat terutamanya dikawasan alam semulajadi dalam negara
- Melahirkan bakal pendidik Sains yang mampu berfikir secara kritis dan mempunyai daya kemahiran menyelesaikan masalah yang tinggi melalui aktiviti dan program Pendidikan STEM.
Beberapa aktiviti telah pun dijalankan sebagai intipati dalam memastikan objektif penganjuran program tercapai termasuklah program bersama anak-anak yatim di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, eksplorasi flora dan fauna di Tasik Cermin, Ipoh serta aktiviti pengaplikasian konsep-konsep STEM di taman tema Lost World of Tambun. Melalui aktiviti di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, mahasiswa dapat mengaplikasikan salah satu nilai ESI i-DART iaitu sinergi bagi membudayakan kebersamaan dan keterangkuman yang harmoni dan produktif bagi mencapai hasil berkualiti yang bermanfaat dan berimpak tinggi melalui modul aktiviti yang bertemakan Pendidikan STEM yang telah dibangunkan bersama melalui kursus SCE550. Selain itu, mahasiswa juga perlu melibatkan diri secara aktif dan memupuk sikap bertanggungjawab serta bekerjasama secara satu pasukan. Melihat kepada kehidupan yang serba kekurangan melalui perkongsian pengalaman hidup anak-anak yatim yang berada di pusat jagaan ini, sedikit sebanyak telah memberi kesan mendalam kepada mahasiswa agar terus bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Jika dilihat dari sudut perspektif yang berbeza, aktiviti bersama anak-anak yatim ini juga mampu memupuk sikap empati dalam diri mahasiswa yang juga bakal pendidik agar lebih cakna dalam membantu sesama insan yang kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan dan sokongan hidup.
Melalui aktiviti kedua di Tasik Cermin, Ipoh, Perak, umum mengetahui yang kawasan ini telah diiktiraf sebagai kawasan Geotapak (geosite) yang bernilai warisan tinggi dan sedang dibangunkan sebagai Taman Eko Kuari pertama di Malaysia. Justeru, mahasiswa Pendidikan Sains (Kimia), Fakulti Pendidikan, UiTM mengaplikasikan kepakaran yang ada melalui tugasan kerja lapangan (fieldwork) yang berkaitan Pendidikan STEM dengan cara mempelajari dan menerokai sejarah pembentukan terowong daripada batu kapur kalsium karbonat (CaCO₃) yang berusia hampir 480 juta tahun di negara ini. Mahasiswa dapat melihat keajaiban Sains itu sendiri secara tulen dan ‘authentic’ diluar bilik kuliah selain mempelajari konsep-konsep Sains lain yang berkaitan yang ada dalam flora dan fauna dikawasan Tasik Cermin, Ipoh, Perak ini.
Seterusnya, aktiviti pengaplikasian konsep-konsep STEM di Lost World of Tambun juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk meneroka elemen kepelbagaian disiplin STEM yang ada selain melihat betapa pentingnya konsep dan pengetahuan STEM itu digunakan secara meluas terutamanya dalam membangunkan taman tema yang terdapat dalam negara kita bagi memastikan setiap aktiviti dan kawasan permainan taman tema yang dihasilkan terjamin selamat untuk digunakan. Bagi menjalankan penerokaan yang sebenar melalui kerja lapangan (fieldwork) yang berkaitan Pendidikan STEM ini, mahasiswa telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan diberikan tugasan untuk mengenalpasti konsep-konsep STEM yang ada di 5 kawasan yang terlibat seperti Lost World Water Park, Lost World Tin Valley, Lost World Amusement Park dan Lost World Petting Zoo. Justeru, aspek berkaitan kemahiran sosial dan kemahiran berfikir aras tinggi dapat didedahkan kepada mahasiswa dalam memastikan agenda pemerkasaan Pendidikan STEM ini dapat dipupuk kepada bakal-bakal pendidik ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pengarah Program, Saudara Arief Iskandar Amdan serta kesemua ahli jawatankuasa program atas komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung. Diharapkan program dan aktiviti seperti ini dapat diteruskan agar pendedahan kepada Pendidikan STEM ini bukan hanya berlaku dalam bilik kuliah tetapi juga dapat dilakukan melalui kerja lapangan (fieldwork) yang lebih bersifat tulen dan ‘authentic’ agar bakal-bakal pendidik yang dihasilkan oleh Fakulti Pendidikan, UiTM lebih cemerlang dan bersedia mendepani cabaran pada abad ke-21 ini.