MICROSOFT WORD WORKSHOP ANJURAN PERSATUAN PELAJAR DIETETIK (DiETS), FAKULTI SAINS KESIHATAN UiTM CAWANGAN SELANGOR, KAMPUS PUNCAK ALAM SESI 2022/2023

PUNCAK ALAM, 4 November 2023 – Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam Sesi 2022/2023 telah melaksanakan program Microsoft Word Workshop secara atas talian melalui platform Microsoft Teams. Program ini telah bermula pada jam 8:30 pagi dan berakhir pada pukul 1:30 tengah hari. Program ini telah disertai oleh penasihat satu Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) sesi 2022/2023 iaitu Dr. Nur Suraiya binti Abu Hassan Shaari, penasihat dua Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) sesi 2022/2023 iaitu Encik Muhammad Hakim bin Abdul Jalil, penceramah atau fasilitator jemputan iaitu Encik Muhammad Fakhrullah bin Ahmad Samerin, Majlis Perwakilan Pelajar, Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2022/2023 iaitu saudari Nur Izzah binti Arwin, beberapa orang kakitangan Pusat Pengajian Dietetik, dan 148 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Dietetik tahun 1, 2, dan 3 serta mahasiswa UiTM Puncak Alam dari fakulti berbeza.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan menambah ilmu pengetahuan mahasiswa mengenai fungsi Microsoft Word secara terperinci. Selain itu, program ini juga dijalankan untuk mengenalpasti masalah yang sering dihadapi oleh mahasiswa dalam penggunaan Microsoft Word. Melalui program ini juga mahasiswa UiTM Puncak Alam berupaya untuk menghasilkan dokumen dengan lebih sistematik dan pantas. Secara tidak langsung, ianya dapat meningkatkan kualiti penulisan dokumen dalam kalangan mahasiswa yang seterusnya mampu membantu mereka sepanjang menuntut ilmu di UiTM dan selepas bergelar graduan.

Program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM yang telah dimainkan oleh biro teknikal yang bertanggungjawab menayangkan slide dan memastikan kelancaran slide sepanjang program berlangsung. Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh saudara Muhammad Saiful Idlan bin Mohamad Saidi bagi memberkati program. Selepas itu, saudari Khairun Najwa binti Hamzah selaku pengarah program Microsoft Word Workshop telah dijemput untuk memberikan ucapan alu-aluan kepada para hadirin yang menyertai program. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada setiap peserta yang berada dalam Microsoft Teams kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri program tersebut.

Program telah diteruskan lagi dengan ucapan dari Dr. Nur Suraiya binti Abu Hassan Shaari, Penasihat 1 Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) yang seterusnya merasmikan program Microsoft Word Workshop. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada setiap ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini dan mendoakan agar program berjalan dengan lancar sebelum beliau meninggalkan majlis atas urusan tertentu.

Pada lebih kurang jam 9:20 pagi, saudari pengerusi majlis telah menjemput fasilitator jemputan, Encik Muhammad Fakhrullah bin Ahmad Samerin untuk memulakan sesi pertama bengkel Microsoft Word. Sebelum memulakan sesi pengajaran, beliau telah memperkenalkan diri beliau secara ringkas kepada para hadirin dan menerangkan bagaimana beliau mula berkecimpung dalam bidang Microsoft Word. Menurut beliau, beliau mula mengajar dan membuat formatting menggunakan aplikasi ini sejak di universiti lagi dan tahun ini merupakan tahun ketiga beliau menceburkan diri sebagai pakar dalam aplikasi Microsoft Word. Pada sesi pertama bengkel, Encik Muhammad Fakhrullah telah mengajarkan beberapa fungsi asas Microsoft Word seperti cara-cara untuk menggunakan Microsoft 365, Formatting Mark, Copy & paste, Format Painter, Merge Document, Paragraph Break, Line Break, Page Break, Section Break, Page Number, Line Spacing, Paragraph Spacing, Justify, Ruler, Indent dan Tab/tab stops. Sesi pertama ini berakhir pada pukul 11:20 pagi dan program telah berhenti untuk rehat seketika selama 10 minit.

Program disambung pada jam 11:30 pagi dengan sesi kedua bengkel. Pada sesi kedua pula, beliau lebih fokus terhadap fungsi Microsoft Word yang lebih ‘advanced’ dan yang tidak biasa atau jarang digunakan oleh kebanyakan mahasiswa untuk menyiapkan tugasan mereka. Antaranya ialah margin, style, heading, table of content, caption, list of figure/table, equation, grouping art/shape, numbering, cara-cara mencipta dan meletakkan template di dalam dokumen Microsoft Word, references, dan akhir sekali citation.

Tepat pada jam 1:00 tengah hari, sesi soal jawab telah diadakan di mana mahasiswa dan para hadirin mengajukan soalan dan kekeliruan mereka berkenaan Microsoft Word kepada Encik Muhammad Fakhrullah. Terdapat lima soalan yang telah diajukan oleh para hadirin dan kesemuanya telah dijawab oleh Encik Muhammad Fakhrullah dengan sebaiknya. Sesi soal dan jawab ini telah mengambil masa selama 15 minit.

Kemudian, majlis diteruskan dengan nyanyian lagu UiTM Dihatiku. Selesai menyanyikan lagu dengan penuh semangat, sesi bergambar sebagai kenang-kenangan telah diambil dan dikendalikan oleh biro tugas-tugas khas. Akhir sekali, sebelum majlis bersurai, para peserta dan ahli jawatankuasa program telah diminta untuk mengimbas QR Code kehadiran dan penilaian program.

Melalui program Microsoft Word Workshop ini, para peserta, bukan sahaja dari kalangan pelajar Sarjana Muda Dietetik, tetapi juga mahasiswa daripada program dan fakulti lain dapat meningkatkan lagi pengetahuan sedia ada dan mengukuhkan kefahaman mereka tentang penggunaan aplikasi Microsoft Word. Program ini juga telah berjaya membuka mata dan menyedarkan para pelajar tentang kepentingan mempelajari cara yang betul dalam menggunakan aplikasi Microsoft Word dan betapa pendeknya masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu tugasan jika kita tahu jalan pintas untuk ciri-ciri tertentu dalam Microsoft Word.

Di samping itu, program ini mampu membantu dan menyiapkan diri para mahasiswa, terutama sekali mereka yang berada di tahun akhir yang sudah semestinya sedang giat menyiapkan projek tahun akhir (FYP) atau tesis mereka. Seperti yang sedia maklum, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menulis tesis yang kebiasaannya mempunyai puluhan atau ratusan muka surat. Jika mahasiswa tidak didedahkan dengan lebih awal tentang cara penulisan atau format tesis yang betul dan sesuai, mereka akan menghadapi pelbagai kesukaran semasa proses menyiapkan tesis tersebut. Oleh itu, Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) telah mengambil inisiatif untuk menjalankan program berbentuk akademik dan ilmiah seperti Microsoft Word Workshop bagi mengelakkan perkara ini berlaku kepada para mahasiswa setelah mereka melangkah masuk ke tahun 3 dan 4.

Dengan adanya program seperti ini, diharapkan agar Fakulti Sains Kesihatan dan persatuan-persatuan dalaman dapat menganjurkan lebih banyak program-program berbentuk akademik dan ilmiah di masa akan datang supaya mahasiswa UiTM Puncak Alam tergolong dalam kalangan mahasiswa yang berilmu pengetahuan tinggi, intelektual, dan serba boleh dalam setiap perkara yang berkaitan akademik.

Disediakan Oleh,
KHAIRUN NAJWA BINTI HAMZAH
Pengarah
Microsoft Word Workshop
Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS)
Fakulti Sains Kesihatan