KONVOI 60 MOTOSIKAL: UiTM MENYAPA KOMUNITI KUANG, RAWANG DENGAN KASIH SAYANG

SHAH ALAM, 5 NOVEMBER 2023 ā€“ Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama erat bersama Fakulti Pergigian UiTM Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh, telah mengadakan program “UiTM CSR Project 2.0: Society and Us.” Program berimpak besar ini melibatkan konvoi sebanyak 60 buah motosikal serta pemberian sumbangan kepada 54 orang anak yatim dan asnaf yang tinggal di Asrama Damai Kuang, Rawang, Selangor. Inisiatif tahunan BHEP ini bertujuan untuk memberikan sokongan kepada masyarakat setempat dan sekaligus menerapkan nilai-nilai ihsan, kepedulian, dan kasih sayang dalam masyarakat sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang mementingkan keharmonian dan keamanan bersama.

Program ini, yang menekankan khidmat sosial dan kerjasama komuniti, memberikan peluang kepada warga UiTM untuk terlibat dalam aktiviti yang menyumbang impak besar kepada komuniti setempat. Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan adalah seperti konvoi motosikal, kerja-kerja membersih, pengecatan dan pembaikan bangunan, penanaman pokok, rewang, sukaneka, dan acara ramah mesra bersama anak-anak penghuni asrama. Sebagai penghargaan kepada komuniti yang dibantu, BHEP UiTM telah memberikan sumbangan berupa peralatan sekolah, pakaian, serta perkakas elektrik. Program ini telah disempurnakan oleh YBhg Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

Dalam ucapannya, YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi menekankan komitmen BHEP untuk terus memberikan bantuan kepada masyarakat setempat melalui program-program seumpama ini. Ini adalah program kedua yang dianjurkan, setelah kejayaan program tahun sebelumnya di Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alam. Beliau juga mengalu-alukan mahasiswa UiTM untuk turut serta dalam projek komuniti yang akan datang, dengan harapan agar mahasiswa dapat lebih mendekatkan diri kepada masyarakat setempat dan memahami keperluan mereka.

Seramai 130 peserta, termasuk 60 buah motosikal, 10 buah kereta, dan 2 buah bas, telah menyertai konvoi yang melibatkan jarak perjalanan sejauh 45-kilometer dari UiTM Shah Alam ke Kuang, Selangor. Program ini turut disertai oleh warga UiTM dari Fakulti Pergigian, UiTM Sungai Buloh, serta mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor dan Polis Bantuan UiTM. Program ini memperlihatkan semangat kesukarelawan, solidariti, dan kepedulian UiTM dalam memberi kembali kepada masyarakat dan menjana sinergi yang positif dalam masyarakat setempat.