SHAH ALAM, 2 NOVEMBER 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini telah mengumumkan pelantikan YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, 55 tahun sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu untuk tempoh 3 tahun berkuatkuasa 2 November 2023 hingga 1 November 2026. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, United Kingdom. Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor yang telah memegang jawatan tersebut bermula 9 Ogos 2021 hingga 11 Oktober 2023.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyerahkan watikah pelantikan Naib Canselor baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin di pejabatnya pagi tadi. Hadir sama dalam sesi penyerahan tersebut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.
YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin merupakan Profesor Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM pada tahun 2013 sebelum menggalas amanah sebagai Naib Canselor UTeM untuk tempoh lima (5) tahun pada tahun berikutnya. Selain memiliki pengalaman kepimpinan di universiti awam, YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin turut memiliki pengalaman pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka.
Selain itu, beliau juga memiliki reputasi akademik yang sangat dihormati di dalam dan luar
negara sekali gus mampu meningkatkan keterlihatan universiti dalam memacu kecemerlangan UiTM khususnya dalam era teknologi pengganggu (disruptive technology) hari ini. Beliau turut dilihat berupaya untuk memperkasa UiTM sebagai wadah pendidikan utama negara dalam melahirkan graduan Bumiputera yang berdaya saing dan kalis masa hadapan.
Kementerian dan warga UiTM turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini.
Seluruh warga universiti amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu. Semoga dengan pelantikan ini, visi dan misi UiTM untuk menjadi sebuah universiti unggul yang cemerlang serta menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional di Malaysia dan antarabangsa akan terus diperkasakan.