INDONESIA, 3 Ogos 2023 – Seiring dengan hala tuju Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menekankan kemampuan warga UiTM untuk menarik perhatian warga global menerusi pelbagai inisiatif antarabangsa, delegasi Pusat Jaringan Komuniti (CNC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa institusi pengajian tinggi dan Badan Riset dan Inovasi di Provinsi Nusa Tenggara Barat, Indonesia. Lawatan yang digarap menerusi inisiatif International Community Empowerment (ICE) ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mahadir Ladisma @ Awis (Pengarah Pusat Jaringan Komuniti), Profesor Madya Dr. Sukreen Hana Herman (Ketua Pusat Jaringan Komuniti) dan Puan Noorazean Kamaruddin (Penolong Pendaftar Kanan Pusat Jaringan Komuniti).
Delegasi CNC berada di Lombok bersama enam wakil pensyarah dari Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK), Ts. Dr. Zurita Zulkifli, Profesor Madya Ir. Dr. Norashikin M. Thamrin, Dr. Zulfakri Mohamad, Dr. Rosalena Irma Alip, Ts. Dr. Mohamad Farid Misnan dan Encik Meor Mohd Azreen Meor Hamzah bermula dari 24 hingga 28 Julai 2023 untuk program STEM Awareness in Youth for Next Generation (SAY4NG) x BRIDA NTB Youth Science Camp 2023. Susulan kerjasama program Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Badan Riset dan Inovasi Daerah Nusa Tenggara Barat (BRIDA NTB), beberapa siri lawatan kerja turut dijalankan dalam tempoh program berkenaan.
Lawatan kerja bermula di Universitas Mataram (UNRAM) pada 25 Julai 2023. Mesyuarat kolaborasi diadakan bersama wakil UNRAM Profesor Ir. Dahlanuddin, PhD (Ketua Kantor Urusan Internasional UNRAM), I Wayan Agus Arimbawa (Koordinator Pengelola Kerjasama), Muhamad Bai’ul Hak (Koordinator Pengembangan dan Jejaring Program). Sebagai langkah untuk menarik pelajar-pelajar Indonesia untuk menyambung pengajian di Malaysia, perbincangan mengenai dwi ijazah bagi program-program yang telah dikenal pasti diadakan.
Pada hari yang sama, lawatan kerja diteruskan ke Universitas Islam Negeri Mataram (UIN). Perjumpaan ini dihadiri oleh Prof. Dr. H. Masnun (Rektor UIN), Dr. H. Subhan Abdullah Achim (Wakil Rektor 3), Prof. Atun Wardatun (Fakultas Syariah), Dr. H. Muhamad Saleh (Fakultas Syariah dan Ilmu Komunikasi), Dr. Irwan, (Kepala Kantor Urusan Internasional), Dr. Jumarin (MHI, Dekan Fakultas Tarbiyah). Pengukuhan projek kolaborasi UiTM dan UIN diteruskan menerusi perbincangan mobiliti timbal balik pelajar dan pensyarah UiTM dan UIN. Peluang projek penyelidikan bersama UiTM dan UIN turut diteroka menerusi sesi pertemuan ini.
Di samping itu, perjumpaan bersama wakil Politeknik Pariwisata Lombok (POLTEKPAR), Henry Rachmat Widjaja (Direktur), Dr Amirosa Ria Satiadji (Wakil Direktur Akademik & Kemahasiswaan) dan barisan pengurusan kanan POLTEKPAR dan Lombok Institute of Technology, yang dihadiri oleh Muji Juherwin, berlangsung pada 26 Julai 2023. Pada 27 Julai 2023, delegasi CNC turut mengunjungi Fakultas Teknik, UNRAM. Manakala pada 28 Julai 2023, perbincangan kolaborasi susulan UiTM dan BRIDA NTB diadakan. Perbincangan ini bertujuan untuk mengukuhkan kolaborasi kedua-dua pihak dalam menjalankan program-program berimpak yang dapat menyumbang kepada masyarakat.
Lawatan kerja ini telah memberi peluang untuk membincangkan mengenai kolaborasi antara UiTM dan institusi pengajian tinggi yang dilawati ini. Seterusnya, ini dapat mewujudkan kerjasama jangka panjang yang dapat memanfaatkan pihak-pihak yang terlibat. Diharap lawatan kerja yang dilakukan ini dapat menyumbang ke arah konsep Kebolehpasaran Global (Globally Marketable) 2023 sekali gus meningkatkan ketampakan universiti di peringkat global yang sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia.