UiTM, pemerintah Provinsi NTB pererat kerjasama dalam memperkasakan STEM

LOMBOK, 3 Ogos 2023 – Menerusi inisiatif International Community Empowerment (ICE), UiTM telah mengadakan dua program bersama dengan Pemerintah Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB) iaitu STEM Benchmarking: STEM – Based Learning in the Digital Age@Lombok, Indonesia dan projek UiTM STEM Awareness in Youth for Next Generation (SAY4NG) x Badan Riset dan Inovasi Daerah (BRIDA) NTB Youth Science Camp 2023. Program ini telah diadakan pada 24 hingga 28 Julai 2023 serta melibatkan beberapa institusi pengajian tinggi dan Badan Riset dan Inovasi di Provinsi NTB.

Menerusi lawatan yang sama, satu program kerjasama diantara UiTM dan BRIDA NTB, STEM Awareness in Youth for Next Generation (SAY4NG) x BRIDA NTB Youth Science Camp 2023 turut berlangsung. Program ini turut menekankan perkongsian kepakaran dan amalan terbaik dalam memperkasakan bidang STEM di kedua-dua negara.

Seramai enam tenaga pakar terdiri daripada pensyarah dari Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK), UiTM yang diketuai oleh Ts. Dr. Zurita Zulkifli, Profesor Madya Ir. Dr. Norashikin M Thamrin, Dr. Zulfakri Mohamad, Ts. Dr. Mohamad Farid Misnan, Dr. Rosalena Irma Alip, dan Encik Meor Mohd Azreen berkongsi kepakaran dalam mengendalikan modul yang ditawarkan di dalam program STEM Awareness in Youth for Next Generation (SAY4NG) x BRIDA NTB Youth Science Camp 2023. Program ini melibatkan penyertaan 150 mahasiswa dan mahasiswi termasuk guru-guru di sekitar NTB.

Majlis perasmian pembukaan program SAY4NG x BRIDA NTB Youth Science Camp 2023 disempurnakan oleh Yang Terhormat Dr. Ir. Hj. Sitti Rohmi Djalilah, Wakil Gubernur Provinsi NTB. Manakala majlis perasmian penutup program disempurnakan oleh Yang Terhormat Dr. Haji Zulkieflimansyah, Gubernur NTB. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada UiTM atas lawatan kerja dan peluang perkongsian pengetahuan, kepakaran dan teknologi dalam menjayakan program SAY4NG x BRIDA NTB Youth Science Camp 2023.

Ujar beliau lagi, kerjasama semua pihak adalah penting untuk memupuk minat terhadap STEM dikalangan pelajar agar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara di masa hadapan. Beliau juga memberi reaksi positif dengan peluang kerjasama menerusi penyelidikan bersama melibatkan pelbagai isu yang dihadapi terutamanya penyelidikan berkaitan STEM.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM, Profesor Madya Dr. Ladisma @ Awis yang mengetuai delegasi lawatan kerjasama ini berkata kerjasama ini merupakan platform yang terbaik dalam berkongsi strategi memperkasa bidang STEM yang dapat memanfaatkan kedua-dua negara.