Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan. Hari Kemerdekaan atau juga dikenali sebagai Hari Kebangsaan disambut dengan begitu meriah pada setiap tahun di mana pelbagai acara mengikut tema Hari Merdeka akan diadakan. Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 yang dipilih pada tahun ini adalah Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Pada 2 Ogos 2023 (Rabu) telah diadakan Majlis Perasmian Bulan Kemerdekaan dan Konvoi Semarak Merdeka di peringkat kampus. Majlis telah disambut meriah dengan kehadiran warga kampus seramai 150 orang dan Konvoi Semarak Merdeka 2023 telah disertai seramai 40 orang peserta. Pengarah Program INSP/PB Hadith Bin Jamaludin Ketua Pejabat Polis Bantuan menyatakan bahawa objekif utama konvoi itu adalah bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, selain itu juga ianya adalah sebagai menifestasi patriotism terhadap tahah air yang tercinta. Konvoi Semarak Merdeka ini juga telah memeriahkan lagi Majlis Perasmian Bulan Kemerdekaan UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan dengan diiringi anggota polis trafik dari Bahagian Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
Selain itu, pihak kampus juga menyediakan pelbagai program yang menarik yang bermula 2 Ogos 2023 dan akan tamat dengan Majlis Penutup pada 12 September 2023. Terdapat pelbagai program yang telah dirangka dan dirancang oleh pelbagai unit dan jabatan. Antara programnya adalah seperti :
1) Pertandingan Dekorasi Merdeka di Pejabat
2) Pertandingan Fotografi
3) Ceramah Sempena Bulan Kemerdekaan
4) Pertandingan Menghias Kek
5) Pertandingan Persembahan Kreatif
6) Program Ekspedisi Jelajah Merdeka
7) Larian Kemerdekaan
8) Majlis Penutup
Antara objektif pelaksanaan sambutan bulan kemerdekaan pada kali ini ialah memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme di dalam jiwa warga kampus, mencetuskan dan menyemarakkan perasaan, suasana dan semangat kemerdekaan, mewujudkan rasa kekitaan dan kerja berpasukan seterusnya mengeratkan perpaduan di semua peringkat dan kepada semua warga kampus.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan. Selain itu, majlis juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada jemputan yang turut hadir iaitu YBhg Prof. Dr. Ahmad Nazrun Shuid, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Perubatan. Selain itu YBrs. Prof. Madya Dr. Mas Suryalis Ahmad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pergigian dan YBrs. Dr Aiemeeza Rajali, Timbalan Dekan Klinikal dan semua jemputan yang hadir.
Diharap Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan yang diadakan ini akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan pemahaman warga UiTM tentang erti kemerdekaan serta dapat memupuk warga UiTM yang berjiwa patriotik dan sayangkan negara.