Julai 2023: Kemenjadian Pelajar dan Warganya Menjadi Tunjang Utama HEP

SHAH ALAM, 28 Julai 2023 – Perjumpaan Bulanan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bersama warga Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) bagi bulan Julai 2023 telah diadakan di Kompleks Budisiswa, UiTM Shah Alam. Objektif utama perjumpaan bulanan ini diadakan adalah untuk menyampaikan maklumat serta informasi terkini berkaitan BHEP kepada semua warganya di samping menjadi platform jalinan hubungan dua hala antara Timbalan Naib Canselor (HEP) dan semua warga HEP.

Antara pengisian sesi perjumpaan pada kali ini ialah pemakluman kepada semua warga BHEP berkaitan pembentangan Key Performance Indicator (KPI) dan Performance Index (PI) bagi suku kedua tahun 2023. Pencapaian 13 PI HEP bagi suku kedua tahun 2023 adalah sebanyak 59%. YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) menerusi ucapannya mengucapkan tahniah kepada warga BHEP yang telah bertungkus lumus memastikan BHEP mencapai sasaran 50% bagi suku kedua tahun 2023.

Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Kesihatan Mental UiTM telah diaktifkan kembali bagi memberi tumpuan terhadap kesihatan mental pelajar UiTM. YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi juga menyeru agar pihak pengurusan kolej kediaman memastikan pelajar dapat menguruskan peperiksaan mereka dengan baik di samping memastikan bekalan makanan tidak terrputus sepanjang pelajar berada di kolej kediaman. Kebajikan pelajar sentiasa menjadi fokus utama BHEP.

Dalam pada itu, beberapa program dan pencapaian BHEP pada bulan Jun 2023 telah diberikan apresiasi. Antaranya, Kelab Penyayang telah dinobatkan sebagai finalis bagi Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023. Keduanya, mantan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 telah menjayakan program Youth Global Outreach ke Korea Selatan di mana mereka telah melibatkan diri dalam sesi perkongsian dengan universiti awam di Korea Selatan dan mempamerkan budaya Malaysia kepada warga Korea Selatan. Di samping itu, program Semarak Siswa Madani telah berlangsung pada 15 dan 16 Julai yang lalu di mana program ini merupakan platform yang baik dalam mengetengahkan bakat serta kelebihan yang ada di UiTM kepada komuniti setempat. Antara program lain yang telah dianjurkan oleh BHEP pada bulan Julai 2023 adalah Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa UiTM 2023, Majlis Pelancaran “PitSTOP by HEP”, Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.

Sehubungan itu, anugerah BHEP Employee of the Month bagi bulan Jun 2023 telah diterima oleh Puan Hajah Ikhwana Misnan (Penolong Pendaftar Kanan, Unit Pengurusan Non-Residen), Encik Mohd Sharil Fazha Mohd Said (Pegawai Eksekutif, Pusat Kegiatan Pelajar), Encik Sharil Aizat Yusop (Pegawai Eksekutif, Pusat Kerjaya dan Kaunseling), Puan Wan Fatma Wati Wan Abd Rahim (Penyelia Asrama, Kolej Kediaman Delima) dan Encik Mohd Norsam Yakup (Pembantu Operasi, Kolej Kediaman Anggerik). Penganugerahan ini diberikan kepada staf BHEP yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang bulan Jun 2023.