Bertarikh 12 & 13 Julai 2023, pembentangan mini projek BIO301 telah berjaya dilaksanakan oleh sejumlah 76 pelajar tahun akhir aliran biologi Diploma Sains AS120 di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Pensyarah dari bidang biologi dan kimia dipanggil untuk menjadi panel penilai semasa sesi pembentangan dijalankan. Fokus utama pembentangan mini projek ini adalah bagi melihat kebolehan pelajar dalam menyampaikan maklumat kajian yang dijalankan beserta data analisis saintifik yang diperolehi sepanjang 14 minggu sesi pengkuliahan berlangsung. Selain itu pelajar mendapat pengalaman dalam meningkatkan keberanian jati diri dan mampu menjawab persoalan dari panel penilai dengan lebih yakin.
Terdapat lebih kurang 18 tajuk kajian sains yang meliputi bidang mikrobiologi, entomologi, planktologi, kajian kualiti tanah,fitokimia serta beberapa lagi tajuk yang menarik merangkumi bidang biologi dan kimia.
Sistem penilaian berdasarkan beberapa kriteria seperti, kualiti pembentangan, konsep pemahaman, kemampuan menganalisis data dan juga keterampilan komunikasi. Hasil dari sesi pembentangan ini, menunjukkan sebahagian dari pelajar tahun akhir ini menunjukkan pemahaman yang baik tentang konsep-konsep saintifik dan mampu menjelaskan metod analisis dengan baik. Namun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki, seperti struktur pembentangan yang lebih teratur dan penggunaan visual yang lebih efektif.Dari aspek komunikasi, dapat disimpulkan secara keseluruhannya pelajar masih perlu meningkatkan penggunaan bahasa inggeris dengan lebih baik dan lebih yakin dalam penyampaian.
Sebagai kesimpulan, penilaian pembentangan mini projek BIO301 menunjukkan bahawa para pelajar tahun akhir telah berjaya melaksanakan kerja kursus yang ditetapkan. Kemampuan mereka dalam menyampaikan data saintifik dan komunikasi secara efektif telah meningkat.
Galeri Gambar: