SHAH ALAM, 26 Jun 2023 – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau juga dikenali dengan singkatan PALAPES yang dulunya dikenali sebagai ROTU (Reserve Officer Training Unit) adalah satu program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk penuntut-penuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Sebagai dari dalam hal ehwal pertahanan, secara logiknya mereka semestinya ada hubung kait dengan institusi Beraja. Tambahan dengan jelas dalam Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.
Oleh itu, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu sekali lagi menggerakkan segmen Bicara Akademia bagi siri ke-13 yang bertajuk Teori vs Praktik: Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara pada 26 Jun 2023 (Isnin) pada jam 10.00 pagi hingga jam 11.30 pagi. Panel jemputan tidak asing dalam melatih para PALAPES iaitu Kapten Ts. Dr. Mohd Aziz Aris yang merupakan Ketua Cawangan Latih PALAPES UiTM Cawangan Terengganu merangkap pensyarah kanan Fakulti Pengajian Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu, Dungun.
Tujuan utama PALAPES di institusi-institusi pengajian tinggi adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar menyertai dalam dunia atau institusi pertahanan Malaysia apabila mereka sudah tamat pengajian. Kadet ini juga sebagai salah satu langkah untuk menambahkan sumber tenaga anggota pegawai yang boleh dikerah sekiranya berlaku kecemasan atau darurat. Selain itu, PALAPES juga salah satu usaha untuk membentuk kualiti seorang warganegara yang berdisiplin dan cinta kepada tanah airnya sendiri.
Fokus kita kepada latihan atau teori yang diajar kepada PALAPES mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara. Merujuk Dr Mohd Aziz, setiap tahun akan ada pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES yang disempurankan oleh baginda Yang di-Pertuan Agong dan istiadat ini adalah satu upacara yang penting dalam kalendar Angkatan Tentera Malaysia dan juga Universiti Awam. Sebagai tanda rapatnya Pegawai Kadet PALAPES dengan Tuanku Canselor UiTM, PALAPES mempunyai sumpah taat setia terhadap perkhidmatan dan negara. Jadi pegawai yang melalui pentauliahan perlu melafazkan ikrar sebagai lambang ketaatan dan kesetiaan kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Sudah menjadi tanggungjawab markas PALAPES bahawa kehadiran Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong selaku Canselor UiTM, setiap kali adanya istiadat konvokesyen, baginda akan disambut dengan upacara perbarisan kehormatan di mana ia melibatkan pegawai kadet yang mempunyai tiga perkhidmatan iaitu PALAPES Laut, PALAPES Darat, dan PALAPES Udara. Jadi kita dapat lihat perbarisan dan lafaz ikrar taat setia itulah perhubungan diantara peranan kadet dengan Tuanku Canselor UiTM.
Menurutnya lagi, isu kedaulatan negara tidak boleh dijadikan sebagai satu bahan gurauan. Semua masyarakat perlu memastikan kedaulatan negara dan keharmonian dapat dipertahankan dalam bentuk apa cara sekali pun. Apabila kita menyebut tentang kesetiaan kepada Raja dan negara, ia tidak lari dari konsep mempertahankan, berkorban, berkhidmat dan mungkin banyak lagi istilah-istilah yang boleh kita lihat. Setiap warganegara hendaklah sepenuhnya taat setia, jujur, dan ikhlas kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan diperingkat negeri pula perlu menumpahkan kesetiaan kepada Raja di negeri yang mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Akhir sekali, objektif Rukun Negara kedua iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara perlu disemai dan terus diterapkan dalam minda siswa dan siswi di peringkat universiti awam. Ikrar taat setia itu bukan hanya sekadar lafaz, malah ia harus dilakukan, maka jangan mengganggu-gugat kehidupan masyarakat. Terjemahkan kesetiaan itu kepada perbuatan, bukan hanya memahami sahaja tetapi tidak sampai ke tahap pelaksanaan.