PUNCAK ALAM, 15 Jun 2023 – Karnival Rekreasi Luar 2023 anjuran bersama Persatuan Outdoor Recreation Education Leader (TRAINER) UiTM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Selangor, Kampus Puncak Alam secara julung kalinya telah diadakan pada 19 dan 20 Mei 2023 (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Kolam Basah Lapan, UiTM Puncak Alam. Karnival ini telah diselia oleh ahli jawatan kuasa (AJK) TRAINER yang memegang Sijil Kelayakan Rekreasi Luar daripada Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM).
Karnival Rekreasi Luar 2023 ini telah menyediakan aktiviti- aktiviti rekreasi yang telah menarik minat ramai pelajar UiTM iaitu aktiviti rekreasi air (berkayak), aktiviti menyelamat semasa rekreasi air dan ‘flying fox’. Jumlah peserta yang terlibat adalah hampir mencecah angka 900 orang pelajar. Tujuan utama karnival ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada warga kampus terutama pelajar tentang ilmu pengetahuan tentang rekreasi luar serta manfaatnya kepada diri serta orang sekeliling.
Hari pertama Karnival Rekreasi Luar 2023 ini telah bermula jam 8.30 pagi dengan ketibaan beberapa orang peserta untuk menyertai aktiviti ‘flying fox’ serta aktiviti air. Kemuncak kehadiran peserta adalah pada selepas zohor memandangkan ramai yang berminat untuk mengisi masa lapang pada waktu petang.
Karnival Rekreasi Luar 2023 telah bersambung kembali pada keesokan harinya, 20 Mei 2023 yang mencatatkan peningkatan dalam penyertaan peserta. Aktiviti- aktiviti yang dijalankan dikendalikan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa TRAINER selama dua hari berturut- turut. Karnival Rekreasi Luar 2023 ini telah melabuhkan tirai pada jam 5.00 petang. Pihak persatuan TRAINER UiTM telah menjana keuntungan sebanyak RM3100.00 bagi keseluruhan karnival.
Secara keseluruhannya, Karnival Rekreasi Luar 2023 yang julung kali diadakan ini telah dapat mencapai objektif yang ditetapkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Selangor. Perjalanan sepanjang program sangat lancar serta mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Semoga program ini akan dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.