KETAATAN KEPADA RAJA SELARAS SEBUAH BANGSA YANG BERTAMADUN

Ketaatan kepada Raja Pemerintah sudah menjadi pegangan asas hidup rakyat Malaysia sejak awal kewujudan negara ini. Bersandarkan pada konteks kedaulatan, ia sering diungkap dan dibincangkan kerana sejajar dengan hubungan Raja dan rakyat. Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang Perlembagaan memperuntukkan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah masing-masing yang sudah dinikmati hingga sekarang adalah kekal dan tidak terjejas. Maka jelaslah peruntukan Perkara 181(1) ini, kedaulatan yang dimiliki oleh Raja-Raja kekal kerana ia adalah aspek utama kepada pembentukan legitimasi sebuah negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, hidup dalam keadaan aman dan damai.

Namun pada era modenisasi, pelbagai aplikasi canggih yang telah digunakan hampir ke semua umat manusia. Aplikasi yang wujud seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya telah memudahkan pengguna mengakses maklumat dengan lebih pantas. Dalam pada masa yang sama, kemudahan atas talian ini telah disalah guna oleh segelintir masyarakat dengan meluahkan kata-kata yang kurang baik kepada pihak lain.

Institusi beraja juga tidak terlepas dari kata-kata negatif mereka. Apa yang lebih mengejutkan ialah ada pihak sanggup mengatakan bahawa “we don’t need Royal Family Agong anymore” dan ada juga pihak menggunakan kelebihan membuat satira untuk memperlekehkan institusi beraja di Malaysia. Bersandarkan negara Malaysia mengamalkan hak kebebasan bersuara telah menjadi asbab mereka bertindak sedemikian. Hak kebebasan yang diberikan seharusnya tidak digunakan secara adikara sehingga menyebabkan rasa hormat dan taat kepada Raja itu hilang dalam jiwa masyarakat. Tidak dinafikan bahawa tubuh badan Raja juga adalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Mungkin itu cara mereka supaya baginda Raja sedar akan kesilapannya. Walhal ada aturan baik yang boleh digunakan untuk memperbetul kesilapan tersebut. Terdapat juga segelintir masyarakat akan taat kepada Raja hanya mengikut waktu sesuai. Contoh sekiranya Raja bertindak mengikut kehendak mereka, maka ketika itulah sifat taat mula muncul, akan tetapi sekiranya Raja bertindak tidak mengikut kehendak mereka, ketaatan pada Raja mula hilang. Adakalanya tahap pemahaman mereka tentang tugas baginda kurang dan menyebabkan mereka berbuat demikian.

Sistem Raja Berperlembagaan sudah jelas menunjukkan bahawa kuasa Raja terhad kerana terikat dengan Perlembagaan yang merupakan undang-undang utama Persekutuan. Kadangkala mereka mahu institusi beraja melakukan sesuatu, tapi ia tidak boleh dibuat kerana Perlembagaan tidak membenarkannya. Polemik ini adalah satu langkah awal kegoyahan keharmonian yang sudah dinikmati sekian lama kerana masing-masing tidak menghormati Raja pemerintah. Maka dengan itu, Raja pemerintah selayaknya ditaati oleh rakyat secara sentiasa seperti mana kita mentaati kedua ibu bapa dan bukan hanya mengikut masa. Mahu menegur tidak ada salah kerana itu adalah hak kita sebagai manusia untuk memberi dan menerima teguran jika ada kesilapan yang telah dibuat. Tetapi tegurlah dengan cara yang baik dan berhemah kerana ia mencerminkan sebuah bangsa yang bertamadun. Nasihat yang diberikan hendaklah disertakan dengan adab bukannya kata-kata cacian dan makian.

Sudi memetik firman Allah SWT, surah at-Taha ayat 43 dan 44 yang bermaksud “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, kerana dia benar-benar telah melampaui batas”; “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut”. Ayat ini, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun berjumpa dengan Raja pemerintah Mesir iaitu Firaun yang mempunyai sikap sombong dan kejam serta diperintahkan juga kepada baginda berdua untuk berbicara dengan gemulai supaya Firaun kembali sedar dan bertaubat. Teladan yang boleh diambil dari ayat ini adalah walaupun Firaun seorang Raja yang zalim, masih lagi dituntut untuk berbuat baik dan beradab ketika mengekspresikan nasihat. Sewajarnya sebagai rakyat Malaysia harus meneladani dan menghayati ayat ini. Lanjutan, Raja kita tidak zalim seperti Firaun dan kita tidak mulia seperti baginda Nabi Musa dan Nabi Harun. Oleh itu, mengapa harus bersikap kasar terhadap Raja kita?

Isu-isu penghinaan terhadap institusi beraja harus diambil tindakan yang tegas supaya penyakit ini tidak merebak ke seluruh masyarakat Malaysia. Masyarakat perlu bijak mengendalikan aplikasi-aplikasi yang di muat turun dalam mengeluarkan sebarang kenyataan lebih-lebih lagi kenyataan yang berkaitan dengan institusi beraja. Hal ini sebagai satu langkah untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku seperti ancaman keselamatan, amalan fitnah bermaharajalela dan lain-lain. Kebebasan bersuara yang diberikan janganlah diguna pakai dengan agak keterlaluan sehingga menyebabkan keharmonian negara tergugat.
Tuntasnya, ketaatan kepada Raja merupakan satu tanggungjawab rakyat dalam mengukuhkan keharmonian negara. Tidak menjadi kerugian sekiranya kita mentaati Raja yang dianggap sebagai payung negara. Ketaatan yang begitu kuat dapat menyulitkan pihak luar yang bermatlamat subversif, seterusnya kestabilan negara dicapai dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk terus diperkasakan. Ingatlah, kesatuan yang dibina sejak awal kemerdekaan adalah hasil permuafakatan Raja-Raja pemerintah untuk membentuk identiti Malaysia dimana rakyatnya menikmati hidup secara aman dan damai. Maka hendaklah kita sebagai rakyat mentaati Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja dan tidak perlu melontarkan kata-kata yang kurang enak didengar. Berbudi bahasa dalam menyampaikan apa-apa kenyataan dan hendaklah disertakan dengan cara terurus supaya tidak menimbulkan kegawatan yang tidak dingini. Sepadan dengan Rukun Negara yang kelima, bersopanlah dengan Raja Pemerintah. Ketaatan kepada Raja harus berkekalan kuat hingga ke akhir hayat.