UiTM Mencapai Kedudukan ke-128 dalam UI GreenMetric World University Rankings

SHAH ALAM, 13 Disember – UiTM berjaya membuktikan komitmennya terhadap kelestarian sekali lagi apabila berjaya mencapai penarafan yang tinggi dalam UI GreenMetric (UIGM) World University Ranking 2022. Pada tahun ini, UiTM berjaya mencapai kedudukan ke-128 daripada 1050 universiti dengan lonjakan 22 anak tangga berbanding kedudukan ke-150 daripada 956 universiti di seluruh dunia pada tahun lepas. Di peringkat tempatan pula, kedudukan UiTM berada di tangga ke-6 daripada kedudukan ke-9 pada tahun lepas.

UIGM World University Ranking diperkenalkan oleh Universitas Indonesia untuk mengukur usaha kelestarian kampus melalui enam kluster, iaitu Setting and Infrastructure, Waste, Water, Energy, Education and Research, dan Transportation. Seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UiTM menyusun strategi usaha kemampanannya berdasarkan kluster-kluster ini ke arah untuk menjadi Kampus Pintar menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik UiTM 2025. UiTM Green Centre (UGC) dan Institute of Sustainability and Biodiversity (IBSD), bersama-sama Expert Task Force dalaman UiTM merentas fakulti dan pakar pelbagai disiplin adalah antara pemacu utama universiti untuk mencapai usaha ini.

“Dengan pengumuman ini, kita dapat melihat bahawa UiTM terus mencapai kemajuan yang hebat ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025,” ujar Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor. “Pada bulan Disember tahun lepas, Shah Alam dilanda banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan telah menjejaskan ramai dalam kalangan kakitangan dan pelajar kami. Sejak itu kami telah menggandakan usaha dan komitmen ke arah kelestarian dalam pelbagai cara. Saya berbangga melihat komitmen UiTM  diiktiraf secara menyeluruh, termasuk keputusan Penarafan Universiti Dunia UIGM tahun ini.”