Jabatan Fizik dan Sains Bahan UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah mengadakan program Virtual Physics Explorace pada 17 Mei – 27 Mei 2022. Program ini melibatkan seramai 36 orang pelajar program Pra Diploma Sains dan 16 orang pelajar Pra Diploma Sains (Aliran STEM C & Sastera) semester 2 yang berlangsung selama 3 sesi. Ketiga -tiga sesi ini berlangsung selama 2 jam. Program ini diadakan bertujuan untuk membantu para pelajar membuat persediaan awal menghadapi ujian dan meningkatkan momentum para pelajar yang terkesan dengan pembelajaran secara online. Selain itu, ianya adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada permainan interaktif yang dapat membantu dalam proses pembelajaran dan secara langsung dapat meningkatkan kefahaman berkenaan subjek fizik. Program ini menggunakan Telegram Meet sebagai platform untuk peserta dan fasilitator berinteraksi sepanjang program dijalankan.
Fasilitator program ini adalah terdiri daripada staf Jabatan Fizik dan Sains Bahan iaitu seramai 10 orang. Fasilitator berperanan menjaga checkpoint dan memastikan peserta dapat melengkapkan setiap checkpoint yang ada. Terdapat 3 checkpoint mewakili 3 jenis permainan interaktif iaitu Wordwall, Quizizz dan Kahoot. Daripada 3 permainan interaktif ini, hanya 1 permainan iaitu Kahoot dijalankan secara live session bersama para peserta. Manakala 2 permainan interaktif lagi adalah dengan memberikan link permainan untuk para peserta menjawab soalan yang telah disediakan oleh pihak jawatankuasa program. Setiap permainan tersebut perlu disiapkan oleh peserta dalam tempoh 30 minit.
Program Virtual Physics Explorace ini juga menjadi lebih menarik apabila hadiah bagi tempat pertama, kedua dan ketiga turut disediakan. Bagi pemenang tempat pertama yang berjaya akan mendapat RM20, pemenang tempat kedua akan mendapat sebanyak RM15 manakala RM10 bagi pemenang tempat ketiga.
Secara keseluruhannya, program Virtual Physics Explorace ini berjalan dengan lancar walaupun program ini dijalankan secara online. Tambahan pula platform Telegram Meet yang digunakan sangat sesuai kerana aplikasi ini memang sedia ada di dalam telefon bimbit pelajar. Hasil maklumbalas pelajar juga memberi respon yang positif dan program seperti ini boleh dijalankan lagi pada masa akan datang. Fizik sinonim dengan subjek yang susah. Oleh itu, melalui program ini, sedikit sebanyak dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari subjek ini.