SHAH ALAM, 7 JUN 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA). Majlis ini bertujuan menguatkan jalinan kerjasama antara MGJA bersama institusi akademik yang diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. UiTM diwakili oleh Professor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, sementara MGJA diwakili oleh Presiden, Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam Bin Hj. Ibrahim. Majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan oleh Dekan FSR, Profesor Madya Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, dan En. Mohd Zurie Harun, Timbalan Presiden MGJA.
Presiden MGJA, Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam Hj. Ibrahim menyatakan bahawa matlamat utama MGJA adalah untuk mempromosikan sukan golf di kalangan anak muda di Malaysia, mencari bakat muda dan melatih serta membimbing mereka menjadi pemain golf profesional. Beliau percaya kerjasama bersama institusi seperti UiTM akan dapat mengasuh bakat muda dan boleh menjadi lebih cemerlang dalam sukan ini, seperti mana yang kita impikan. MGJA juga berhasrat untuk menghantar pemain muda untuk menyertai kejohanan berprestij dan diiktiraf, dan bekerjasama dengan Persatuan Golf Remaja lain di peringkat Asia dan Antarabangsa.
Tambahnya lagi MoU yang ditandatangani ini akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuklah (i) Pertukaran maklumat berkenaan perkembangan di dalam program pendidikan, pembangunan atlet dan penyelidikan, (ii) Penganjuran bersama simposium, konferensi, dan penjanaan kursus jangka pendek, (iii) Perkongsian maklumat dan aktiviti rakan universiti di bawah Memorandum Persefahaman di dalam laman sesawang kedua-dua pihak, (iv) Perkongsian kepakaran pembangunan modal insan mengikut perkembangan dan keperluan organisasi yang melibatkan program kepimpinan, komunikasi, kreativiti, dan penyelesaian masalah, (v) Menjayakan lain-lain aktiviti dan kerjasama yang bersesuaian dan dipersetujui bersama yang berasaskan penglibatan komuniti, dan industri, dan (vii) Menubuhkan Akademi Golf UiTM dan melahirkan atlet golf profesional untuk UiTM.
Naib Canselor UiTM percaya dengan memorandum persefahaman ini, ia dapat memberi peluang untuk UiTM menebarkan sayapnya menerusi pakar-pakar bidang untuk memartabatkan lagi industri golf tanah air, samada dalam bentuk penyelidikan, penukaran maklumat, dan keilmuan era baharu, seterusnya dapat membuka lebih banyak ruang kepada pengembangan sukan golf tanah air dan pengukuhan atlet-atlet pelapis yang berdaya saing menerusi perancangan dan strategi yang lebih bersepadu antara kedua-dua belah pihak.