PERMATANG PAUH, 6 FEBRUARI 2022 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang telah menjadi pemula kepada Program Jom Masuk IPT (JMIPT2022) fasa 1. Kementerian Pengajian Tinggi melalui Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) telah melantik sepenuhnya UiTM Cawangan Pulau Pinang sebagai urus setia bagi penganjuran JMIPT. Program ini telah diadakan pada 5 & 6 Februari 2022 di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang.
JMIPT telah dihentikan sementara penganjurannya secara fizikal sejak tahun 2020 akibat pandemik COVID-19. Setelah dua tahun berlalu, JMIPT kembali dengan edisi yang ke-16 di zon utara. Antara kelainan pada edisi kali ini, pelaksanaan program secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui platform Facebook UPUOnline. Sebanyak 60 (reruai) penyertaan daripada 20 universiti awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Yayasan Negeri, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan lain-lain. Selain itu, “Live Chat” di mana pengunjung boleh menghubungi pegawai-pegawai bertugas di setiap reruai yang dilawati untuk sebarang bantuan yang diperlukan termasuk berhubung terus dengan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA berkaitan permohonan program.
Lebih menarik lagi, melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi pada 3 Februari 2022 mengenai pengecualian bayaran proses UPUOnline untuk kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2022/2023 yang dibuka mulai 4 Februari 2022 sehingga 31 Mac 2022. Menteri Pengajian Tinggi YB Dr Noraini Ahmad berkata “Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli no pin unik di Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline”. Justeru KPT berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.
Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang turut melahirkan rasa gembira dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak BKPA-JPT dengan sokongan daripada Naib Canselor UiTM YBhg Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Pengurusan Tertinggi UiTM, ujarnya “UiTM Cawangan Pulau Pinang bersiap siaga dengan semua SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN, sinergi bersama pihak berkuasa luar dan dalaman juga amat baik sekali dalam memastikan pematuhan SOP yang komprehensif”.
Pihak urusetia menyasarkan seramai 5000 pengunjung ke JMIPT secara (fizikal dan maya). Namun teLh melepasi sasaran apabila lebih 11,000 pengunjung telah direkodkan hadir secara bersemuka dan dalam talian. Seramai 300 pengunjung terawal dan bertuah telah menerima hadiah istimewa daripada pihak penganjur selain aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan kepada para tetamu dan pengunjung di luar dewan. Antara aktiviti tersebut ialah pertunjukkan dron dan robotik, permainan STEM, pameran penyelidikan dan inovasi, pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh petugas daripada Fakulti dan Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Pulau Pinang sendiri. Gerai keusahawanan yang menempatkan hasil dan produk pelajar, staf mahupun komuniti setempat juga turut mendapat sambutan ramai.Kawalan had tetamu seramai 350 maksimum pada satu masa termasuk pempamer dan petugas telah dikawal selia oleh pasukan Infostruktur UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan sistem (Event Counting System) yang telah dibangunkan khas bagi program JMIPT bagi mendapatkan akses masuk ke ruang pameran di dalam dewan.