12 April 2021 – Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor telah menganjurkan Professorial Talk yang menampilkan YBhg. Prof. Dr. Faizah Abd. Majid baru-baru ini. Sesi memfokuskan kepada kupasan tajuk ‘I’m a Teacher, I’m a Thinker: Unraveling the Art of ‘Thinking’ in Teaching’. Profesor dalam bidang Pendidikan Dewasa di Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Faizah juga merupakan Pengarah Perkembangan Akademik dan Pengurusan, Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), UiTM.
Majlis yang dilaksanakan secara hibrid ini dihadiri secara fizikal oleh 50 tetamu jemputan khas yang terdiri daripada jemputan pengurusan UCS dan Fakulti Pendidikan, rakan-rakan profesional, rakan karib serta ahli keluarga Prof. Dr. Faizah. Selain dihoskan di pelantar Webex, perjalanan majlis turut direkodkan melalui siaran langsung di saluran rasmi YouTube dan Facebook Fakulti Pendidikan. Menariknya, sesi turut disertai oleh wakil-wakil rakan strategik luar negara Fakulti Pendidikan antaranya Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia; University of Immaculate Conception, Filipina; dan Higher Education Philippines.
Professorial Talk merupakan lonjakan profesionalisme dalam perjalanan kerjaya seorang pensyarah, namun garapan program ini merupakan satu buah tangan peribadi untuk Prof. Dr. Faizah. Selesai ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan, hadirin disajikan dengan tayangan montaj yang menggabungkan detik-detik indah perjalanan Prof. Dr. Faizah sebagai pendidik. Garapan montaj turut mengandungi pesanan daripada individu yang memberi sentuhan signifikan terhadap pengertian ‘pendidik’. Sesi perkongsian biodata oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Shireena Basree Abdul Rahman, Pengarah Program Professorial Talk dan rakan baik Prof. Dr. Faizah sendiri, diselitkan dengan detik-detik persahabatan yang bermula sejak sama-sama melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di University of Reading, United Kingdom. Sebelum Prof. Dr. Faizah melangkah ke atas pentas dan menyampaikan kuliah beliau, tayangan video terakhir merupakan pesanan daripada Adibah Nor, selebriti terkenal tanahair, yang juga rakan sekelas Prof. Dr. Faizah semasa bergelar mahasiswa ijazah sarjana muda.
Mengupas peri pentingnya untuk pendidik ‘berfikir’ di dalam pengajaran mereka, kuliah Prof. Dr. Faizah distrukturkan kepada enam aspek utama. Antara penekanan yang diberikan adalah kepada thinker teachers dan pedagogi dialogik. Di hujung sesi kuliah, dua formula berfikir dalam pengajaran yang diformulasikan oleh Prof. Dr. Faizah sendiri turut dikongsikan.
Tahniah kepada Prof. Dr. Faizah di atas kuliah profesorial beliau. Kuliah yang disampaikan bukan sahaja menyuburkan budaya berfikir, refleksi dan berfikir tentang berfikir dalam pengajaran, malah memberi lonjakan aspirasi kepada pensyarah muda dalam mengatur perjalanan profesionalisme mereka.
Layari laman YouTube Fakulti Pendidikan untuk video penuh program: https://www.youtube.com/watch?v=4T_0l7stavc&t=2856s