Program Sahabat Sungai

UiTM Green Centre (UGC), Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah menjalankankan Program Sahabat Sungai membersihkan Sungai Langat, Kg. Kuala Pangson. Program ini dijalankan bersempena sambutan Hari Air Sedunia 2021 dan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara di bawah program mega Denai Sungai Kebangsaan (DSK), Kementerian Alam Sekitar & Air (KASA). Seramai 40 sukarelawan dari UiTM dan agensi PAAB telah menyertai program ini. Program ini merupakan salah satu program yang dijalankan oleh UGC untuk memperkasakan pengetahuan dan pengalaman alam semulajadi dengan lebih dekat. UGC merupakan entiti baharu yang diwujudkan di bawah Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur untuk merealisasikan UiTM menjadi sebuah kampus eco-friendly dan mendokong agenda kelestarian di UiTM.

UiTM merupakan salah satu Sahabat Sungai di dalam projek DSK yang dilancarkan oleh KASA. Program ini merupakan inisiatif baharu yang dilaksanakan di bawah Pelan Strategik KASA 2030 sebagai salah satu mekanisme kawalan pencemaran sungai dan risiko banjir. Sebagai Sahabat Sungai, sumbangan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, antaranya seperti tenaga kerja, bahan binaan, peralatan gotong-royong atau apa sahaja yang boleh membantu kerja-kerja berkaitan. Pada masa sama, peserta Sahabat Sungai turut digalakkan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat membantu menceriakan persekitaran denai sungai, selain mempromosikan keindahannya kepada komuniti dan masyarakat setempat. Di dalam kerjasama ini, UiTM telah menjadi Sahabat Sungai di Sungai Langat, Kg. Kuala Pangson.

Program dimulakan dengan aktiviti gotong royong membersihkan sungai bermula seawal 7.30 pagi. Setibanya di kawasan tersebut, deruan sungai dan kesegaran hening pagi amat dirasai. Walau bagaimanapun keadaan di lokasi program agak tidak terurus dan sampah sarap dapat dilihat di kawasan berhampiran dan di dalam sungai. Selepas sesi pengenalan program dan sesi taklimat keselamatan diberikan kepada semua sukarelawan, aktiviti pembersihan sungai dan kawasan sekitar dilakukan secara berkumpulan. Kerja-kerja pembersihan berakhir pada pukul 10.00 pagi di mana sukarelawan dengan semangat kerjasama yang tinggi berjaya mengindahkan kawasan sungai bagi meningkatkan keindahan dan panorama persekitaran.

Program pembersihan sungai perlu dilakukan secara intensif dan berterusan, bagi mengekalkan keindahan dan memelihara kebersihan sungai. Walau bagaimanapun kaedah yang berkesan perlu dikenalpasti untuk mengawal serta menangani masalah pencemaran sampah di kawasan sungai tersebut berulang.