Kumpulan Lakar Wanita terdiri daripada beberapa artis wanita diantaranya merupakan pensyarah dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam yang giat menghasilkan karya dalam bentuk dan pentafsiran yang peribadi sifatnya. Bagi mempamerkan hasil-hasil karya mereka, kumpulan ini telah mengadakan beberapa siri pameran. Pameran seni sulung mereka telah diadakan pada tahun 2016 yang bertempat di Galeri Shah Alam. Pameran ini juga pernah diadakan di Galeri Hab Media Kreatif dan Teknologi (CMTHub) UiTM Shah Alam pada tahun 2019. Justeru itu, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung, Pameran Seni Lakar Wanita 2020 telah dianjurkan buat kali ke-5 bermula pada 20 Disember 2020 sehingga 15 Mac 2021 bertempat di Galeri CMTHub UiTM.
Pameran ini dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Lakar Wanita, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka dan CMTHub UiTM. Pameran bertemakan Retrospektif (mengimbau kembali peristiwa) akan mempamerkan 55 hasil karya yang dihasilkan oleh 11 orang pengkarya yang terdiri daripada tiga (3) orang pensyarah dan lapan (8) orang protégé. Pameran Seni Lakar Wanita tidak hanya tertumpu kepada pameran karya artis sahaja. Terdapat beberapa pengisian lain sepanjang pameran berlangsung seperti acara Kidz Artzania, Webinar Bicara Lakar Wanita, dan Bengkel Kraf bersama artis.