PETALING JAYA – Pelajar Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam telah berjaya merangkul Outstanding Undergraduate Award dalam pertandingan 5th International Built Environment Undergraduate Research Competition (BEURC) anjuran Universiti Malaya yang diumumkan pada 9 September 2020.
Muhammad Ansarullah Mohamad Asri, memenangi anugerah tersebut yang dipertandingkan dalam sub-tema Architecture and Planning Studies dengan tajuk ‘Elderly Satisfaction with Services and Facilities in Public Low-Cost Housing in Kuala Lumpur’.
Penyelia Projek Akademik Muhammad Ansarullah, Profesor Madya Sr Dr Nor Rima Muhamad Ariff menjelaskan bahawa tajuk yang dibincangkan pelajar tersebut adalah berkaitan dengan keselesaan bagi warga emas dari kelompok B40 dalam aspek kediaman, yang meliputi sokongan fasiliti di dalam sesebuah unit perumahan awam serta dari sudut kejiranan. Kajian tersebut juga relevan dengan Dasar Warga Emas Negara yang memberikan perhatian serius terhadap perumahan dan persekitaran warga emas.
Pertandingan yang terbuka kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang alam bina dari dalam dan luar negara ini dikendalikan secara maya berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Sub-tema lain yang dipertandingkan adalah: Surveying and Governance; Management; Construction; dan juga Building Science. Bagi keseluruhan sepuluh penyertaan dari Pusat Pengajian Ukur Bangunan, FSPU Shah Alam, dua orang pelajar mendapat Anugerah Emas, termasuk Muhammad Ansarullah yang terpilih untuk menerima Outstanding Undergraduate Award, lima orang mendapat Anugerah Perak, manakala tiga orang lagi mendapat Anugerah Gangsa.