SHAH ALAM: Inisiatif Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan program UiTM Prihatin sejajar dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar golongan B40 menjadi insan yang berjaya dan cemerlang.
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sebagai institusi yang memacu pendidikan tinggi bumiputera, UiTM secara tidak langsung membantu memajukan dan memberi sumbangan terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat dan negara khususnya golongan B40.
“Saya percaya aspirasi yang dihasratkan oleh KPT khususnya melalui program seperti ini dapat menyuntik semangat motivasi pelajar untuk terus berusaha mencipta kejayaan bagi mengubah kehidupan lebih baik untuk diri dan keluarga pada masa hadapan.
“Pemisah antara kejayaan dan kegagalan adalah keyakinan dan keberanian untuk melonjak lebih tinggi dalam menghadapi cabaran,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran UiTM Prihatin di UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim.
Noraini berkata, UiTM berjaya mengambil peluang dengan melaksanakan inisiatif proaktif yang mengintegrasikan matlamat pembangunan mampan terutamanya terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.
“Satu agenda yang memangkin dan menjana pembangunan bersepadu, menyeluruh dan membabitkan pelbagai pihak dan sektor berkepentingan.
“Pelancaran UiTM Prihatin ini menjadi wadah pemerkasaan pendidikan anak bangsa terus diperluas. Ini kelebihan dan keistimewaan UiTM berbanding institusi pengajian tinggi (IPT) lain. Tahniah UiTM,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azraai dalam ucapannya berkata, program itu adalah satu siri jelajah ke seluruh negara bagi membantu melebar luas akses pendidikan tinggi seterusnya memberi peluang kepada pelajar golongan B40 melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.
“Program UiTM Prihatin membabitkan empat fasa utama yang bermula dengan majlis pelancaran pada hari ini sehingga pertengahan tahun hadapan.
“Pada hari ini, seramai 53 pelajar sekitar Selangor menerima sumbangan zakat dan sedekah bagi membantu persediaan mereka melanjutkan pengajian di UiTM manakala, seramai 238 pelajar pula akan menerima sumbangan yang sama dalam fasa seterusnya yang akan dilaksanakan di kampus cawangan seluruh negara,” katanya.
Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/734735/uitm-prihatin-bantu-pelajar-b40