8,748 pokok ditanam sekitar Dataran Kemerdekaan

Hiroyuki Imizu (dua dari kiri) menanam pokok bersama Kamaruzzaman Sanusi (dua dari kanan) sempena penganjuran program Shah Alam Trees For Life 2018 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

SHAH ALAM 14 Ogos – Sebanyak 8,748 pokok pelbagai jenis ditanam di sekitar kawasan lapang dan pejalan kaki berdekatan Padang B, Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini sempena penganjuran program Shah Alam Trees For Life 2018.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, antara spesies yang ditanam ialah 500 pokok daripada jenis Duranta Gold, Texas Ranger, Chinese Fringe Flower, Akalifa Merah dan Akalifa putih-hijau.

Menurutnya, program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 400 peserta terdiri daripada 377 warga kerja Panasonic Management Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic); kakitangan MBSA; pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Eco-Warrior; pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (Unisel) serta sukarelawan individu.

“Program ini merupakan inisiatif dan kerjasama MBSA bersama Panasonic untuk menghijaukan landskap bandar raya ini. Panasonic telah menyumbang sebanyak RM35,000 kepada pihak MBSA bagi menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Shah Alam Trees For Life 2018 di sini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Landskap MBSA, Mohd. Yunus Suri; Ahli Majlis MBSA, Kamaruzzaman Sanusi dan Timbalan Pengarah Panasonic, Hiroyuki Imizu.

Shahrin menambah, MBSA juga amat komited untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

Jelas beliau, antara program-program berkaitan yang pernah dilaksanakan adalah Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau, Kebun Di Sekolah, Kebun Komuniti, trek basikal dan perkhidmatan Bas Selangor. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Abdul Razak Idris
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8-748-pokok-ditanam-sekitar-dataran-kemerdekaan-1.729140#ixzz5OJpnFNS3
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0