63 sekolah sertai Pertandingan Robotik Kebangsaan di Melaka

SEBAHAGIAN daripada robot ciptaan pelajar yang menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka kampus Jasin, sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE/SUFFIAN ABU BAKAR

JASIN 25 Julai – Sebanyak 178 pasukan daripada 63 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan 2018 peringkat negeri Melaka yang diadakan selama hari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka kampus Jasin di sini.

Program itu hasil kerjasama unit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) UiTM cawangan Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Sasbadi Sdn. Bhd.

Ketua STEM UiTM cawangan Melaka, Datuk Dr. Mohd. Nor Hajar Hasrol Jono berkata, ini merupakan program kali pertama dianjurkan UiTM cawangan Melaka dan Melaka adalah antara negeri yang aktif menyertai pertandingan tersebut.

“Terdapat tiga kategori utama dipertandingkan iaitu regular (pro), regular (rookie) serta kategori yang baru diperkenalkan tahun ini iaitu reka cipta dan inovasi STEM.

“Setiap pasukan terdiri daripada tiga pelajar dan mereka perlu menghasilkan robot ciptaan masing-masing untuk menyelesaikan permasalahan iaitu bertemakan ‘Food Matters’,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup pertandingan itu di Auditorium UiTM cawangan Melaka kampus Jasin di sini sebentar tadi.

Majlis penutup itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari dan turut dihadiri Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jasmi Abu Samah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/63-sekolah-sertai-pertandingan-robotik-kebangsaan-di-melaka-1.716022#ixzz5MKVahdZB
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0