55 pelajar UiTM santuni gelandangan Jalan TAR

SEBAHAGIAN pelajar UiTM Kampus Seremban membawa kit kebersihan diri untuk diberikan kepada gelandangan di Jalan TAR.

KUALA LUMPUR: Atas keprihatinan bahawa gelandangan berhak terhadap aspek kebersihan diri mendorong 55 pelajar Kursus Sosiologi Bandar, Sarjana Muda Sains Pentadbiran, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban menyantuni golongan itu menerusi satu program, baru-baru ini.

Menerusi program Santun Tunawisma dengan tema ‘Homeless Hygiene Drive’, pelajar berkenaan membuat kelainan apabila mengagihkan kit kebersihan diri seperti berus gigi, ubat gigi, pencukur, sabun, mandian, syampu rambut dan tuala kepada gelandangan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Ketua program, Izat Izuan Zainudin, berkata program Santun Tunawisma bersama gelandangan itu bertujuan memupuk semangat insaniah dan keprihatinan mahasiswa terhadap masyarakat khususnya di bandar.

Mahasiswi UiTM Kampus Seremban bermesra dengan bayi keluarga gelandangan ketika program Santun Tunawisma di Jalan TAR.

“Fokus kami ialah kepada kit kebersihan diri kerana apa yang diketahui gelandangan tinggal di tempat yang tidak bersih dan mereka mandi tanpa menggunakan kelengkapan yang sepatutnya.

“Sebab itulah kami buat kelainan dengan membantu golongan berkenaan dalam aspek kebersihan iaitu dengan mengagihkan kit kebersihan,” katanya.

Seramai 55 orang pelajar yang menjayakan program berkenaan mengambil subjek sosiologi bandar termasuk 38 orang dari Briged Sukarelawan.

Program terbabit dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Negeri Sembilan Kampus Seremban, Dr Suhaimi Abd Samad.

Izat Izuan berkata, mereka juga menyerahkan makanan dan pakaian kepada golongan berkenaan.

“Kami beri roti dan air mineral botol besar kerana roti lebih tahan lama berbanding makanan seperti nasi. Ini dapat mengelakkan pembaziran kalau ada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain memberi mereka makanan.

“Pakaian turut diberikan kerana mereka memerlukannya bagi mengurangkan kesejukan terutama ketika malam dan musim hujan,” katanya.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/05/558983/55-pelajar-uitm-santuni-gelandangan-jalan-tar

1
0