53 Pelajar UiTM Puncak Alam Menjayakan Program Kesedaran Memelihara Alam Sekitar

Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar, seramai 53 pelajar semester akhir Ekonomi Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menjalankan program Bin Less Give More” dari 12 April 2021 sehingga 4 Jun 2021 yang lalu. 

Bin Less Give More ialah program kutipan derma barang-barangan terpakai seperti baju, permainan, beg dan buku yang dijalankan di laman Facebook “Bin Less Give More” yang kebanyakannya ialah para pelajar yang terlibat dalam program tersebut. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dikalangan pelajar dan masyarakat untuk mengitar semula dan menderma barangan terpakai supaya dapat mengurangkan jumlah pembuangan sampah di tapak pelupusan sampah yang sedia ada di Malaysia. 

Inisiatif ini bukan sahaja dapat memberi kelebihan kepada isi rumah dengan pengurangan barang yang terpakai tetapi juga dapat memberi kebaikan kepada alam sekitar dari segi pengurangan kesan rumah hijau, mengurangkan pencemaran dan menyelamatkan alam semula jadi. Sekaligus, tahun ini “Bin Less Give More” membawa program ini ke pringkat yang lebih tinggi melalui kolaborasi bersama pihak Kloth Cares/Kloth Cares Fabric Recycling Movement yang merupakan sebuah gerakan keusahawanan sosial Malaysia yang bertujuan untuk mengurangkan kain dan plastik di tapak pelupusan sampah. 

Sepanjang berlangsungnya program ini, di laman Facebook Bin Less Give More berjaya meraih seramai 569 keahlian pada penghujung bulan Jun, ini merupakan hasil dari para pelajar menggalakkan ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam program ini melalui sosial media masing-masing.  Selain itu, lebih dari 30 barangan telah dimuat naik oleh pelajar yang terlibat di laman Facebook “Bin Less Give More” dan masyarakat boleh mengambilnya secara percuma. 

                   

Hasilnya, melalui kutipan barangan terpakai di laman Facebook dan kutipan derma dalam kalangan masyarakat, ahli jawatankuasa dan para pelajar yang terlibat berjaya mengumpul sebanyak 820 kg kutipan dan diletakkan di tong kutipan derma Kloth Cares Fabric Recycling Movement di sekitar Lembah Klang. “Sememangnya terdapat pelbagai prosedur yang perlu kami ikuti untuk membawa pendedahan yang lebih meluas kepada program ini tetapi, kepuasan yang kami dapat setelah program ini setelah berjaya mendapatkan kutipan yang banyak ianya amatlah memuaskan” kata seorang pelajar yang terlibat. 

Seterusnya, Puan Shahariah Asmuni merupakan gerakan pertama yang mewujudkan “Bin Less Give More” untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar bersesuaian dengan subjek yang dipelajari. “Program yang berjalan ini mampu memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada ahli jawatankuasa dan pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan bukan sekadar teori tetapi aplikasi di luar kelas juga.” kata Puan Shahariah Asmuni yang merupakan penasihat dan pensyarah “Environmental Economics” UiTM Puncak Alam. 

Sehubungan dengan itu, semoga program ini mampu memberi  impak dan inspirasi kepada pelajar dan masyarakat untuk sentiasa aktif, terutamanya dalam menjaga persekitaran dan kitar semula barangan terpakai untuk kebaikan masa depan. Kitar semula barangan terpakai dapat menyelamatkan alam sekitar dari pencemaran dan memberi kelebihan kepada isi rumah untuk menderma kepada pihak yang lebih memerlukan. Kepada masyarakat diluar sana yang ingin menderma barangan terpakai boleh ikuti @klothlifestyle di Instagram untuk maklumat lebih lanjut.