53% Pelajar Menduduki EPT Lulus di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka

Setelah 2 tahun English Placement Test (EPT) tidak ditawarkan di Kampus Jengka ekoran hal berkaitan pandemik, sesi kali ini menarik minat yang tinggi di kalangan para pelajar baru program Diploma. EPT adalah ujian yang ditawarkan oleh Akademi Pengajian Bahasa (APB) kepada para pelajar baru program Diploma UiTM di seluruh Malaysia. Pelajar yang berjaya mendapat markah 80 atau ke atas layak mendapat pengecualian kredit untuk kod kursus ELC121, iaitu kod kursus Bahasa Inggeris yang wajib diambil oleh semua pelajar semester pertama program diploma.

Pada 13 Oktober – 14 Oktober 2022 yang lalu, seramai 207 orang pelajar telah menduduki EPT untuk sesi Oktober 2022 di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Sesi ini melihatkan pertama kalinya EPT dijalankan menggunakan platform uFuture dan dipantau di makmal-makmal komputer sekitar kampus. Seramai 21 orang Pengawas Peperiksaan yang terdiri daripada para pensyarah APB UiTM Kampus Jengka telah terlibat untuk memantau perjalanan ujian di 4 makmal komputer kampus sepanjang 2 hari EPT berlangsung.

Pada 19 Oktober 2022, keputusan ujian telah pun diumumkan dan seramai 110 (53.1%) pelajar telah berjaya lulus EPT dengan jayanya. Justeru, ianya telah melayakkan mereka untuk mendapat pengecualian kredit bagi kod kursus ELC121.

Tahniah dan syabas kepada para pelajar yang lulus! Kepada yang tidak berjaya, syabas juga diucapkan kerana telah menunjukkan semangat mampu berdikari apabila melalui proses yang agak rumit untuk menempatkan diri mereka dalam EPT. Pada masa hadapan, diharapkan lebih ramai pelajar baru Diploma akan menduduki EPT dan merebut satu-satunya peluang pengecualian kredit untuk kod kursus Bahasa Inggeris yang ditawarkan APB.