50 penuntut UiTM jayakan aktiviti amal

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, menjayakan program amal di Surau Al-Imam Taman Cempaka Senawang. – STR/NSTP Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Seramai 50 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, menjayakan program amal di Surau Al-Imam Taman Cempaka Senawang, di sini, hari ini.

Aktiviti gotong-royong membersihkan bahagian dalam dan luar pusat ibadat itu dijayakan bersama 20 penduduk setempat.

Pengarah program, Mohd Islah Mohd Yusof, berkata program itu bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran asas kepada penuntut yang ingin menceburi bidang kesukarelawanan. Beliau yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa UiTM Seremban 3 berkata, program itu satu bentuk latihan kepemimpinan pelajar untuk mengasah bakat dan memahami kehidupan sebenar masyarakat.

Katanya, selain menjadi sebahagian kerja kursus yang akan diambil kira dalam pemberian markah pengajian, program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar dengan komuniti setempat.

“Ia juga menjadi satu saluran sosial untuk membina dan mendorong peserta menyemai semangat kekitaan, jati diri dan keprihatinan antara satu sama lain.

“Malah, aktiviti ini juga dapat memupuk sikap positif dan sayang kepada pusat ibadat yang menjadi tumpuan umat Islam,” katanya ketika ditemui.

Sukarelawan, Nur Ain Mohd Arifin, 20, berkata penyertaan dalam program khidmat masyarakat itu mengingatkannya bahawa kerja sukarelawan tidak hanya terhad kepada aktiviti tertentu.

“Dua perkara yang menyeronokkan ketika menyertai program ini adalah kita dapat mendekati komuniti setempat dan menimba pengalaman sebagai seorang sukarelawan.

“Saya dan rakan sukarelawan lain dapat bersama dengan komuniti menghulurkan bantuan menerusi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar,” katanya.

Pengerusi surau berkenaan, Mohamad Kasim Mat Yatim pula berkata, pihaknya amat menghargai kesediaan penuntut terbabit memilih surau taman itu dalam program amal mereka.

“Selain dapat memastikan persekitaran surau yang bersih, program ini mampu menjalin hubungan baik antara penduduk taman ini dengan UiTM Seremban 3,” katanya.

Oleh: Mohd Amin Jalil
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/05/425116/50-penuntut-uitm-jayakan-aktiviti-amal

0
0