SHAH ALAM: Seramai 50 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Fakulti Sains Gunaan (FSG) telah dipilih untuk menyertai program Bengkel Skor MAT538 Matematik Gunaan (BESMAT) yang telah diadakan pada 7 Januari 2023.
Program yang melibatkan pelajar berdaftar bagi kursus MAT538 (Matematik Gunaan) adalah suatu usaha murni oleh para tenaga pengajar dari Pusat Pengajian Sains Matematik (PPSM), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) dengan kerjasama FSG, UiTM Shah Alam.
Pengarah program, Dr. Iskandar Shah Mohd Zawawi, berkata kerjasama yang baik daripada pensyarah mengajar kursus tersebut, Dr. Nur Syazana Anuar dan Dr. Hazizah Mohd Ijam yang turut menjadi fasilitator bengkel. Tujuan utama bengkel SKOR MAT538 diadakan adalah sebagai persediaan akhir bagi para sebelum menghadapi ujian penilaian dan peperiksaan akhir.
Berdasarkan maklumbalas awal dari para pelajar, sebahagian peserta program mempunyai asas kalkulus dan algebra yang lemah walaupun pernah mengambil kursus matematik yang lain di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi atau Diploma. Selain merasakan kurang minat terhadap subjek matematik, faktor lain seperti masalah kesihatan, ketidakhadiran kuliah dan kurang membuat latihan turut menjejaskan markah penilaian berterusan dan penilaian akhir kursus mereka. Menurut Dr. Iskandar, perlaksanaan bengkel tersebut dapat menambahbaik pencapaian gred kursus MAT538 berikutan ia adalah kursus yang dianggap kritikal terutama bagi pelajar yang bukan daripada aliran matematik.
Hasil usaha program berimpak dan bermanfaat seperti bengkel SKOR MAT538 ini akan dianalisa dengan keputusan peperiksaan semester Oktober 2022 – Februari 2023. Selamat maju jaya diucapkan buat para pelajar dan peserta bengkel SKOT MAT538.
Oleh: Dr Iskandar Shah Mohd Zawawi