5 pelajar UiTM akan jalani latihan industri di Al-Jazeera

Mohd Cairul Iqbal (dua dari kanan) melancarkan Program UiTM Al Jazeera Week – Digital Media-Crossing To The Future di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam, hari ini. – NSTP/Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menghantar lima pelajar semester akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) menjalani latihan industri di ibu pejabat Al Jazeera di Doha, Qatar mulai tahun depan.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Mohd Azraai Kassim, berkata pelajar yang bakal mengikuti latihan industri selama empat bulan itu akan ditemuduga sendiri oleh pihak pengurusan agensi berita antarabangsa berkenaan.

Beliau berkata, proses saringan awal sedang dilakukan bagi menyenarai pendek calon berpotensi, dengan pelbagai aspek penilaian diambil kira, termausk kemahiran berbahasa Inggeris, tahap keyakinan, penampilan diri dan komunikasi.

“Di peringkat awal ini, seramai 10 calon akan dipilih, dengan lima daripada senarai itu dihantar untuk ditemuduga oleh pihak pengurusan Al Jazeera, begitu juga proses sama untuk semester yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Program UiTM Al Jazeera Week – Digital Media-Crossing To The Future di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa), Profesor Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin yang mewakili Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Hadir sama Pemangku Ketua Pengarah Rangkaian Media Al Jazeera, Dr Mostefa Souag.

Mohd Azraai berkata, peluang yang diberikan kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda FKPM mengikuti latihan industri itu adalah inisiatif Maszlee sendiri selepas lawatannya ke ibu pejabat Al Jazeera, April lalu dan memberikan inspirasi kepada UiTM merealisasikannya.

Beliau berkata, kemampuan pelajar juga antara perkara yang diambil kira namun pihak UiTM akan berusaha bagi membolehkan pelajar yang benar-benar layak dapat ke sana walaupun kurang berkemampuan.

“Ketika ditemuduga, pelajar akan ditanya dari segi kemampuan. Jika tidak mampu, kita akan tengok kategorinya. Kita akan pastikan mereka dapat mengikuti latihan industri di sana, mungkin boleh dapat biasiswa penuh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerjasama pertama antara UiTM dan Al Jazeera itu berjaya diterjemahkan kepada program hari ini.

“Selain majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UiTM dan Al Jazeera, acara ini turut membariskan ahli panel ternama melalui sesi forum.

“Melalui MoU itu juga, UiTM melalui FKPM membuka peluang kepada penyelidik dan pakar dalam industri untuk berkongsi pengetahuan mengenai masa depan komunikasi dan media termasuk membincangkan idea inovatif, pengurusan media, latihan dan komponen berkaitan,” katanya.

Oleh: Oleh Ruwaida Md Zain
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/615031/5-pelajar-uitm-akan-jalani-latihan-industri-di-al-jazeera

0
0