UiTM Cawangan Perak, 11 Jun 2024 – Jabatan Seni Reka Fesyen, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Universitas Pendidikan Ganesha, Bali, Indonesia telah menganjurkan satu Simposium Fesyen yang bertema “Strengthening the Resilience of the Fashion Industry Ecosystem in the Mold of Society 5.0”. Simposium ini telah diadakan secara bersemuka di Galeri Albiruni, UiTM Cawangan Perak dan dihadiri oleh lebih daripada 300 pelajar Diploma Seni Reka Fesyen.
Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian KPSK UiTM Cawangan Perak dan dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ketua Program Jabatan Seni Reka Fesyen. Simposium ini turut menampilkan sepuluh pensyarah dari Universitas Pendidikan Ganesha, Bali dan Pensyarah Jabatan Seni Reka Fesyen UiTM Cawangan Perak yang berkongsi pelbagai pandangan dan pengalaman dalam industri fesyen.
Simposium ini bertujuan untuk menarik minat dan membuka pandangan peserta mengenai perkembangan fesyen semasa di Malaysia dan Indonesia, serta meningkatkan kemahiran komunikasi para pelajar melalui interaksi dengan panel dari kedua-dua negara.
Antara panel yang terlibat termasuklah Pn. Nasyirah Binti Salleh dari UiTM Cawangan Perak yang berkongsi pengalaman di belakang tabir sebagai pereka kostum. Beliau juga telah diiktiraf sebagai pereka terbaik baru-baru ini sebagai pereka kostum. Dari Indonesia, Dr. Putu Agus Mayuni berkongsi mengenai budaya Bali dan kesetaraan antara fesyen tradisional dan moden. Made Riki Ponga Kusyanda, seorang pensyarah dari Universitas Pendidikan Ganesha, turut berkongsi pandangan tentang statistik pelancongan Bali dan impaknya terhadap fesyen tempatan.
Program ini telah berjaya memeterai perjanjian kolaborasi antara UiTM dan Universitas Pendidikan Ganesha melalui Implement Arrangement on International Guest Lecturer. Perbincangan lanjut mengenai kerjasama ini akan diteruskan dengan pelaksanaan “Summer Programme” yang akan berlangsung di Bali pada hujung tahun ini, serta program pertukaran pelajar dan kolaborasi fesyen antara kedua-dua institusi.
Simposium Fesyen yang dianjurkan oleh Jabatan Seni Reka Fesyen, UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Universitas Pendidikan Ganesha, Bali, telah membuktikan kejayaan dalam membuka minda para pelajar dan memperkukuhkan hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia. Dengan tema “Strengthening the Resilience of the Fashion Industry Ecosystem in the Mold of Society 5.0”, program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komunikasi para peserta, tetapi juga mewujudkan peluang kolaborasi melalui pertukaran pensyarah dan pelajar serta program musim panas yang akan datang. Usaha sebegini diharapkan dapat terus membina ekosistem fesyen yang lebih kukuh dan inovatif di rantau ini.