UiTM Catat Pencapaian Terbaik dalam UI GreenMetric Sustainable University Rankings 2026

SHAH ALAM, 24 September 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar pencapaian terbaik sepanjang penyertaannya dalam UI GreenMetric Sustainable University Rankings 2026 apabila melonjak kepada kedudukan ke-90 dunia pada tahun 2026, berbanding tempat ke-94 pada tahun 2025. 

Peningkatan sebanyak empat anak tangga itu menempatkan UiTM dalam kelompok 4% terbaik daripada 2,016 institusi di seluruh dunia, sekali gus menduduki tempat ke-7 di Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasa pengurusan sumber yang bertanggungjawab, pembangunan kampus mampan serta penerapan elemen kelestarian dalam pendidikan dan penyelidikan merentasi rangkaian kampusnya yang luas. 

UI GreenMetric Sustainable University Rankings menilai prestasi universiti berdasarkan tujuh kategori utama, iaitu Infrastruktur dan Persekitaran, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan, Pendidikan dan Penyelidikan, serta Tadbir Urus dan Pendigitalan diperkenalkan sebagai kategori baharu pada tahun 2026 bagi menilai dasar, sistem dan pendekatan digital institusi yang menyokong pelaksanaan kelestarian, di samping memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti institusi. 

Pada tahun 2026, Pengurusan Air, Pengurusan Sisa serta Tadbir Urus dan Pendigitalan merupakan antara kategori yang mencatatkan prestasi terbaik UiTM. Pengurusan Air dan Pengurusan Sisa masing-masing memperoleh skor penuh 100%, manakala Tadbir Urus dan Pendigitalan mencatatkan 94.4%. Pencapaian ini mencerminkan kekuatan universiti dalam pengurusan sumber, pelaksanaan amalan kelestarian serta tadbir urus institusi. 

“Komitmen UiTM dalam memperkukuh agenda kelestarian diterjemahkan melalui UiTM Campus Sustainability Strategic Action Plan (UiTM CSSAP) 2024–2030, antara  pelan tindakan strategik di bawah UiTM2030 yang telah dilancarkan pada Ogos 2026. Dengan mengintegrasikan kelestarian  dalam pembangunan kampus, operasi dan pembudayaan warga universiti, UiTM kekal komited untuk membina universiti yang lebih mampan, pintar dan berdaya tahan, selaras dengan visi UiTM sebagai Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional” kata Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM. 

Pencapaian ini menjadi satu lagi langkah ke hadapan dalam perjalanan kelestarian UiTM, selain memberikan momentum baharu untuk terus memperkukuh usaha dan menghasilkan impak yang lebih besar pada masa hadapan.