
BATAM, 14 September 2026 – Seramai 27 orang mahasiswa dan dua orang pensyarah daripada Persatuan Ijazah Sarjana Muda Biologi (BIOSMARTEAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah berjaya meluaskan pengalaman pembelajaran merentas sempadan menerusi penganjuran program BioGlobal: Science Beyond Boundaries di Batam, Indonesia. Program mobiliti antarabangsa edisi ketiga anjuran BIOSMARTEAM ini dijalankan dengan kerjasama strategik Universitas Internasional Batam (UIB), menggabungkan elemen penerokaan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar, perkongsian akademik, dan pertukaran budaya.
Menerusi pengisian program pada 26 Ogos lalu, para peserta telah menjayakan aktiviti EcoFlora Batam: Batam Biodiversity Exploration di Kebun Raya Batam bagi menjalankan kajian pengenalpastian serta penamaan spesies tumbuhan. Agenda pembelajaran lapangan diteruskan menerusi EcoCoast Serip: Mangrove Education and Community Conservation di Desa Wisata Kampung Tua Bakau Serip. Menerusi aktiviti ini, para mahasiswa kedua-dua universiti berganding bahu menanam sebanyak 50 pokok bakau sebagai tindakan pemuliharaan ekosistem pesisir. Menurut wakil mahasiswa BIOSMARTEAM, Muhammad Akmal Fitri Rozaidin, inisiatif ini memberi peluang nyata kepada pelajar untuk menyumbang secara langsung kepada kelestarian alam sekitar di peringkat antarabangsa.


Komponen akademik program diperkukuh pada 27 Ogos menerusi penganjuran EduConnect Batam: Academic Collaboration and International Seminar di UIB. Sesi ini menampilkan pembentangan hasil kajian oleh pensyarah UiTM dan UIB, pembentangan kumpulan mahasiswa berdasarkan dapatan kajian lapangan, serta lawatan ke makmal penyelidikan UIB. Semangat diplomasi budaya turut disemarakkan menerusi persembahan Legenda Mahsuri oleh mahasiswa UiTM. Di samping itu, delegasi turut diberi pendedahan terhadap keusahawanan, warisan, dan pembangunan tempatan menerusi siri aktiviti EcoVista Bintan, LapisPreneur Batam, EduHeritage Batam, EduCulture Batam, dan Barelang Discovery.
Penganjuran BioGlobal 2026 secara keseluruhannya mendokong Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air), SDG 15 (Hidupan di Darat), dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat). Kejayaan inisiatif ini membuktikan keberkesanan program mobiliti pelajar sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), komunikasi saintifik, dan pengukuhan jaringan akademik rentas negara.
