UiTM Selangor Rangkul Naib Johan Kedua di I-TIE 2026 Indonesia Menerusi Inovasi AI SiswaBites

PUNCAK ALAM, 22 Julai 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor terus mengukir nama di persada global apabila pasukan SiswaBites dari Kolej Casuarina, Kampus Puncak Alam merangkul gelaran Naib Johan Kedua (2nd Runner-Up) di International Technopreneur Invention & Exhibition (I-TIE) 2026. Pertandingan berprestij ini telah berlangsung pada 24 Mei 2026 di Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Indonesia, menghimpunkan 130 penyertaan inovasi dari Malaysia dan Indonesia.

Di bawah bimbingan Encik Sumardianshah Bin Silah selaku mentor, pasukan yang dianggotai oleh Afiq Luqman bin Bahari, Danial Osama Wafi bin Daud, Muhammad Akmal Fadli bin Hassan, dan Muhamad Adam bin Muhamad Nor mempertaruhkan penyelesaian inovatif berteraskan teknologi Artificial Intelligence (AI).

Projek SiswaBites dibangunkan khusus untuk menangani isu lambakan dan pembaziran makanan di kafe kampus menerusi aplikasi AI Predictive Analytics. Sistem pintar ini berfungsi untuk menganalisis data permintaan dan corak penggunaan makanan, seterusnya membantu pengusaha kafe merancang pengeluaran dan penyediaan makanan dengan skala yang tepat dan lebih efisien.

Penyelesaian keusahawanan berasaskan data ini bukan sahaja menawarkan jalan keluar praktikal kepada masalah pengurusan sisa makanan di persekitaran kampus, malah menyokong secara langsung Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 2: Sifar Kelaparan dan SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab. Potensi projek ini dalam menggalakkan amalan kelestarian melalui teknologi mampan berjaya memikat perhatian barisan panel juri antarabangsa.

Kejayaan di pentas global ini menterjemahkan keupayaan mahasiswa UiTM dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang relevan dengan keperluan semasa. Ia juga membuktikan komitmen berterusan pihak UiTM Cawangan Selangor dalam memperkasakan budaya inovasi, keusahawanan, dan pemikiran kritikal dalam kalangan mahasiswa, sekali gus menjadi pemangkin inspirasi kepada warga universiti untuk terus menghasilkan ciptaan kreatif yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad