UiTM Pahang Perkasakan Kebolehpasaran Graduan Menerusi Program Pemerkasaan Laluan Kerjaya Bersama PERKESO

JENGKA, 3 Ogos 2026 – Komited dalam usaha melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia mendepani cabaran kerjaya, Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) di bawah Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (BPJI) bersinergi dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang serta PERKESO Cawangan Temerloh telah menganjurkan Program Pemerkasaan Laluan Kerjaya. Berlangsung di Dewan Indera Segara, Kampus Jengka pada 6 Jun lalu, inisiatif ini berjaya menarik penyertaan hampir 400 orang pelajar dan komuniti setempat.

Majlis telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kuantan merangkap ahli CEO@Faculty UiTM Cawangan Pahang, YH. Dato’ Mohd Faizal bin Jaafar. Sebagai alumni UiTM, beliau turut menyampaikan sesi perkongsian khas dengan mengupas secara mendalam pengalaman membina kerjaya, cabaran dunia pekerjaan, serta kepentingan memperkukuh kemahiran kepimpinan bagi memenuhi kehendak industri yang dinamik.

Hadir sama menyuntik semangat dan motivasi kepada para peserta ialah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) yang Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Pahang, YBrs. Prof. Madya Dr. Nazirah binti Ramli. Beliau menekankan betapa pentingnya pemerkasaan ilmu, kemahiran insaniah, dan keyakinan diri sebagai perisai utama graduan di pasaran kerja. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), YBrs. Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, serta Pengurus PERKESO Temerloh, YBrs. Puan Roziah binti Abdul Wahid.

Selain taklimat utama, pengisian program diserikan dengan perkongsian memfokuskan kepada aspek kebolehpasaran, persediaan alam pekerjaan, dan pembangunan kerjaya oleh wakil PERKESO yang juga merupakan alumni UiTM. Bagi memaksimumkan pendedahan industri kepada pelajar, ruang pameran dan khidmat nasihat kerjaya serta perancangan kewangan turut disediakan dengan penglibatan agensi strategik seperti MyFutureJobs, KWSP, ASNB, Agrobank, dan Pahang Skills.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM Cawangan Pahang dalam memperkukuh jaringan strategik bersama industri dan alumni melalui inisiatif CEO@Faculty. Pihak pengurusan universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PERKESO Cawangan Temerloh dan semua rakan agensi yang terlibat. Sinergi yang terjalin ini diharap dapat terus memacu peningkatan kadar kebolehpasaran graduan yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Penyunting: Dr. Nurul Infaza Talalah binti Ramli