
PUTRAJAYA, 20 Ogos 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan telah mengukuhkan kerjasama strategik bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi pelaksanaan Kajian Kawalan Keselamatan Sempadan Negara (Malaysia-Thailand) di Sungai Golok, Kelantan. Penyelidikan berimpak tinggi ini bertujuan merangka penyelesaian komprehensif bagi menangani isu kritikal penyeludupan bahan api bersubsidi.
Inisiatif ini merupakan manifestasi perbincangan strategik yang telah dirintis sejak tahun 2023 antara kumpulan perunding UiTM dan Pengarah MKN Negeri Kelantan. Susulan penyerahan Surat Setuju Terima di UiTM Technoventure Sdn. Bhd. (UTV) pada 13 Julai lalu, mesyuarat permulaan projek telah berlangsung secara rasmi di Bahagian Pengurusan Sempadan Darat, MKN Putrajaya pada 17 Ogos 2026.
Menurut Pengarah Projek, Puan Nur Shaliza Sapiai dari Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan, kajian selama 12 bulan (15 Julai 2026 hingga 14 Julai 2027) ini direka untuk meneliti mekanisme aktiviti penyeludupan serta impak rantaiannya terhadap sosioekonomi, perundangan, dan keselamatan awam. Penyelidikan ini mengguna pakai pendekatan empirikal berasaskan bukti menerusi analisis silang dokumen, temu bual pakar, lawatan lapangan, dan perbincangan kumpulan berfokus (focus group discussion).

Semasa mesyuarat permulaan di Putrajaya, pasukan perunding UiTM telah membentangkan perancangan holistik pelaksanaan yang merangkumi pemetaan carta Gantt, sorotan literatur awal, papan pemuka analisis trend jenayah, serta Pelan Hala Tuju Induk Projek.
Kajian strategik ini disasarkan untuk menghasilkan laporan komprehensif, artikel jurnal, dan kertas dasar (policy papers) yang akan bertindak sebagai rujukan utama pihak kerajaan dalam menstruktur intervensi keselamatan sempadan yang lebih tepat dan mampan. Penglibatan aktif perunding UiTM dalam projek ini membuktikan keupayaan institusi menyumbang kepakaran bernilai tinggi ke arah memantapkan tadbir urus sempadan darat serta merancang pelan pencegahan jenayah rentas sempadan negara.
