
TAPAH, 3 Ogos 2026 – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah telah berjaya menganjurkan program pengajaran kolaboratif antarabangsa bertajuk “Level Up Your Physics: Understanding Gas Laws, Thermodynamics and Applications” secara dalam talian. Program berimpak tinggi ini menghimpunkan seramai 244 orang pelajar Diploma Sains yang mengikuti kursus PHY210 (Mechanics II and Thermal Physics) pada 6 Jun 2026.
Diadakan bertujuan untuk memperkukuh pemahaman pelajar terhadap topik teras seperti Gas Laws, Kinetic Theory of Gases, dan Thermodynamics, program ini turut mendedahkan peserta kepada aplikasi fizik haba dalam industri, teknologi, dan penyelidikan semasa.
Sesi perkongsian ilmu ini dijayakan secara interaktif oleh lima orang penceramah tempatan dan antarabangsa. Barisan penceramah terdiri daripada Dr. Monika Srivastava dari Sharda University, India, wakil alumni yang juga pensyarah di UTM SPACE, Cik Nursyazwani Mohamad Sukri serta tiga pensyarah Fakulti Sains Gunaan UiTM Tapah, iaitu Puan Zubainun Mohamed Zabidi, Dr. Nazirul Nazrin Shahrol Nidzam, dan Dr. Azlina Yahya.


Menurut Pengarah Program, Dr. Siti Sumaiyah Sheikh Abdul Aziz, pendekatan pengajaran secara kolaboratif ini mendedahkan pelajar kepada konsep asas, penyelesaian masalah berstruktur, dan aplikasi situasi dunia sebenar. Keberkesanan program ini terbukti apabila analisis maklum balas peserta merekodkan lonjakan tahap pemahaman dan keyakinan daripada 36.4 peratus (sebelum program) kepada 84.4 peratus (selepas program). Secara keseluruhannya, program ini meraih 88.1 peratus penilaian positif daripada para peserta.
Inisiatif ini secara langsung menterjemahkan komitmen teguh UiTM dalam memacu agenda pengantarabangsaan menerusi penganjuran aktiviti akademik di bawah payung Memorandum Persefahaman (MoU) yang aktif bersama rakan strategik global. Pada masa yang sama, penglibatan alumni universiti sebagai penceramah menonjolkan peranan penting graduan dalam menyumbang bakti kepada almamater.
Diharapkan pendekatan pembelajaran berasaskan webinar seumpama ini dapat diteruskan bagi memperluas ruang mobiliti maya, menyokong petunjuk prestasi pengantarabangsaan, serta memacu aspirasi UiTM ke arah melahirkan graduan sains yang kompeten, berdaya saing, dan berpandangan global.
