UiTM Perak Jayakan Projek Mural Keceriaan Sekolah Bersama Komuniti SK Sungai Sumun

SERI ISKANDAR, 20 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak melalui Kokurikulum Khidmat Masyarakat (HGD133 – Group B) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat: Mural Keceriaan Sekolah dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sumun, Perak. Program ini merupakan inisiatif pemindahan ilmu dan khidmat komuniti yang memanfaatkan kepakaran mahasiswa dalam bidang seni visual dan kreativiti bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih ceria, kondusif serta bermakna kepada warga sekolah.

Program yang berlangsung selama sehari itu melibatkan penyertaan 45 orang mahasiswa Kokurikulum Khidmat Masyarakat (HGD133) UiTM Cawangan Perak bersama 20 orang warga sekolah yang terdiri daripada guru, pihak pengurusan dan kakitangan SK Sungai Sumun. Kehadiran semua peserta mencerminkan semangat kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat dalam menjayakan agenda tanggungjawab sosial universiti (USR).

 

Sepanjang program, para peserta berganding bahu menghasilkan mural bertemakan pendidikan, alam semula jadi dan nilai-nilai murni di beberapa lokasi strategik sekolah. Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat, diikuti pembahagian kumpulan, lakaran mural, penyediaan bahan serta kerja-kerja mengecat sehingga selesai. Pendekatan gotong-royong ini bukan sahaja berjaya menceriakan persekitaran sekolah, malah memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada mahasiswa dalam mengurus projek komuniti secara sistematik.

Pihak sekolah turut menyambut baik pelaksanaan program ini kerana mural yang dihasilkan bukan sahaja memperindah kawasan sekolah, malah mampu menjadi medium komunikasi visual yang menyampaikan mesej pendidikan, motivasi serta nilai-nilai positif kepada murid. Persekitaran pembelajaran yang menarik diyakini dapat meningkatkan motivasi dan minat murid untuk hadir ke sekolah serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

Selain memberi impak kepada sekolah, program ini turut memperkukuhkan hubungan strategik antara UiTM Cawangan Perak dan komuniti setempat. Penglibatan aktif mahasiswa bersama warga sekolah membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi bukan sahaja berperanan melahirkan graduan berilmu, malah turut menyumbang kepakaran kepada pembangunan masyarakat melalui projek berimpak tinggi.

Program Khidmat Masyarakat: Mural Keceriaan Sekolah ini selaras dengan aspirasi UiTM dalam memperkasa budaya kesukarelawanan dan pembelajaran berasaskan komuniti. Melalui kolaborasi seperti ini, mahasiswa berpeluang mengembangkan kemahiran insaniah, kreativiti dan kepimpinan, di samping memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat. Diharapkan program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi memperluaskan jaringan kerjasama antara universiti dan komuniti serta menyokong usaha melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.

Disediakan oleh
Muhammad Khalik Mustafa
UiTM Cawangan Perak