
JENGKA PAHANG, 4 Julai 2026 – Kupu-kupu atau “butterfly” bukan sekadar serangga yang memiliki nilai estetika yang tinggi, tetapi juga memainkan peranan yang sangat kritikal dalam ekosistem sebagai agen pendebunga utama. Kepelbagaian spesies kupu-kupu di sesuatu kawasan sering dijadikan indikator biologi yang menunjukkan tahap kesihatan sesebuah ekosistem. Bagi menyokong usaha Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka (MBRS) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan spesis kupu-kupu tempatan yang sedang berdepan ancaman kepupusan, Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan dengan kerjasama Organization Biodiversity Club (ORBID) dan Organization of Biology Progeny (OBEY) telah mengambil inisiatif mengadakan Program Community Service Responsibility (CSR) “Butterfly Back to Nature” pada 4 Julai 2026, bertempat di UiTM Kampus Jengka, Pahang.
Program yang julung kalinya diadakan di dalam kampus UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Pahang. Pengisian program merangkumi pelbagai aktiviti interaktif yang berjalan secara selari seperti sesi perkongsian berkenaan serangga dan kupu-kupu oleh Cik Khadaijah binti Othman, pegawai daripada Unit Pendidikan MBRS, juga merangkap alumni program AS255, dan sesi Bicara Ilmu: “Conservation with Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC), yang disampaikan oleh Encik Syed Danial bin Syed Abu Bakar yang juga merupakan alumni program AS255, serta aktiviti interaktif kanak-kanak dan komuniti seperti pertandingan mewarna dan teka ulat dan pelbagai bahan pameran pendidikan.


Sebelum program pelepasan kupu-kupu dilakukan, para peserta telah terlebih dahulu membeli kepompong kupu-kupu yang telah dibiakkan di Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka (MBRS) dan menjaga kepompong tersebut selama hampir seminggu. Usai kesemua kepompong menetas, lebih 85 ekor kupu-kupu dari spesis Clipper (Parthenos sylvia), Common Mormon (Papilio polytes), dan Autumn Leaf (Doleschallia bisaltide) telah berjaya dikumpulkan bersama dan dilepaskan di perkarangan Hutan Simpan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka oleh YBrs. Dr Nurhafiz bin Hussin, Ketua Pusat Pengajian bersama-sama dengan 140 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan staf UiTM dan juga warga komuniti.
Program CSR seumpama ini telah berjaya menerapkan nilai positif di kalangan peserta dan menyokong kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 15: Kehidupan Darat. Ianya juga turut dilihat sejajar dengan usaha dan komitmen UiTM dalam membentuk warga yang menyumbang kepada kelestarian kehidupan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai warga universiti serta komuniti bagi menyokong agenda pembangunan lestari dan pemuliharaan biodiversiti.
Penulis: Nor Lailatul Wahidah binti Musa
