
ARAU, 21 Julai 2026 – Perlawanan bola sepak persahabatan antara UiTM Cawangan Perlis dan Istana FC telah berlangsung dengan meriah dan penuh semangat kesukanan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis. Perlawanan yang penuh bermakna ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis. Turut berangkat menyerikan perlawanan berkenaan ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta Sharifah Farah Adriana Binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sekali gus memberi suntikan semangat yang tinggi kepada seluruh pemain dan penonton yang hadir.
Turut hadir memeriahkan arena perlawanan ialah Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, yang bukan sahaja memberikan sokongan dari tepi padang, malah turun menyertai perlawanan persahabatan tersebut. Penglibatan pimpinan universiti ini menonjolkan sokongan padu terhadap pemupukan gaya hidup sihat serta ikatan silaturahim menerusi aktiviti sukan. Perlawanan yang berlangsung dalam suasana harmoni ini menyaksikan Istana FC berjaya menewaskan UiTM Cawangan Perlis dengan keputusan tipis 2–1. Walaupun kemenangan berpihak kepada Istana FC, kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi yang bertenaga, berdisiplin, dan sentiasa mengutamakan semangat kawan sepasukan sepanjang tempoh permainan.
Penganjuran aksi persahabatan ini bukan sekadar platform untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat, malah bertindak sebagai wahana penting dalam terus mengukuhkan hubungan erat serta jalinan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin antara UiTM Cawangan Perlis dan Institusi Diraja Perlis. Pihak pengurusan UiTM Cawangan Perlis berharap agar hubungan harmoni dan kukuh ini akan terus diperkasakan menerusi pelbagai penganjuran program pada masa hadapan yang memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak.
