KTP UiTM Dan Little Caliphs Semai Kesedaran Alam Sekitar

SHAH ALAM, 12 Jun 2026 – Bersempena dengan sambutan World Environment Day 2026, sekumpulan pelajar dari kursus PRM457: Park Recreation Programming, di bawah Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah melakar impak positif menerusi penganjuran inisiatif Knowledge Transfer Programme (KTP) bersama komuniti pendidikan awal kanak-kanak. Program pendidikan kelestarian alam yang diberi nama “Seeds of Sustainability: Experiential Environmental Education Between UiTM and Kindergarten Communities” ini mengangkat tema “Cultivating Sustainability, Growing Green Generations” dengan jalinan kerjasama strategik bersama Little Caliphs Kindergarten, Shah Alam.

Fokus utama inisiatif KTP ini dilaksanakan adalah untuk memupuk kesedaran alam sekitar, membudayakan amalan kehidupan lestari, serta meningkatkan penglibatan komuniti setempat dalam usaha pemeliharaan alam sejak di peringkat awal. Program berimpak tinggi ini telah berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 79 orang murid tadika dan 10 orang guru. Acara ini turut dijayakan menerusi perkongsian kepakaran daripada barisan pensyarah UiTM, wakil industri, dan penglibatan seramai 68 orang pelajar kursus PRM457 yang bertindak proaktif dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Menyentuh mengenai pengisian program, antara aktiviti utama yang mencuri tumpuan ialah sesi penanaman sayur-sayuran secara konvensional yang direka khusus untuk kanak-kanak. Menerusi aktiviti amali ini, murid-murid berpeluang mempelajari teknik asas pertanian merangkumi proses penyediaan tanah, penyemaian benih, teknik penyiraman, dan penjagaan tanaman. Pendekatan pendidikan ini bukan sahaja memberi pendedahan awal mengenai kepentingan pertanian lestari, malah ia berjaya menyemai rasa penghargaan yang mendalam terhadap keindahan kelestarian alam semula jadi.

Selain pendedahan kepada golongan kanak-kanak, program ini turut memperkasakan para pendidik melalui sesi perkongsian ilmu mengenai sistem pertanian hidroponik. Sesi bimbingan komprehensif ini telah dikendalikan oleh pensyarah UiTM bersama wakil industri jemputan. Menerusi platform tersebut, guru-guru tadika telah diberikan pendedahan praktikal mengenai kaedah pembangunan dan pengurusan sistem hidroponik. Ia diperkenalkan sebagai salah satu pendekatan inovatif pertanian bandar yang sangat praktikal untuk diaplikasikan dalam persekitaran pendidikan di tadika.

Kelancaran serta kejayaan pelaksanaan keseluruhan program ini telah didorong oleh bimbingan padu daripada pensyarah pengiring, iaitu Dr. Nurul Asyikin Ibrahim dan Puan Nur Idzhainee Hashim. Mereka telah memainkan peranan yang amat penting dalam aspek menyelaras, membimbing serta memantau pergerakan program bagi memastikan kesemua objektif penyebaran ilmu KTP yang ditetapkan tercapai.

Secara keseluruhannya, inisiatif murni ini telah berjaya mencapai matlamat dalam memupuk kesedaran alam sekitar dan memperkukuhkan hubungan dua hala yang erat antara warga UiTM dengan komuniti setempat. Penganjuran ini turut membuktikan komitmen proaktif mahasiswa sebagai agen perubahan dalam usaha menyokong pembangunan komuniti yang lestari dan berdaya saing.