
OSAKA, 6 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus memperkukuhkan jaringan antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Osaka Islamic Centre (OIC), Jepun. Majlis menandatangani MoU tersebut telah berlangsung di ibu pejabat Osaka Islamic Centre, 1 Chome-10-28 Nakajima, Nishiyodogawa Ward, Osaka, Jepun. Kerjasama strategik ini bertujuan memperluaskan usaha berkaitan pemindahan ilmu, pembangunan inovasi, penyelidikan, mobiliti, serta khidmat masyarakat yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Muslim minoriti di negara berkenaan.
Delegasi UiTM Cawangan Perak ke majlis tersebut telah diketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim. Turut mengiringi beliau ialah Profesor Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani (Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni – PJIMA), Dr. Nor Azalina Yusnita Abdul Rahman (Koordinator Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Profesor Madya Dr. Gs. Mohd Fadzil Abdul Rashid (Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan – RMU), dan Puan Sizaina Ismail (Pegawai Eksekutif Kanan). Turut serta ialah barisan pensyarah kanan iaitu Ts. Dr. Muh Sarip Abd. Rahman dan Mohamad Hafiz Yahaya dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Mohd Shahrizan Mohd Said dari Fakulti Alam Bina dan Teknologi Bangunan, Ts. Dr. Zaaba Ahmad dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, serta Pereka Bentuk Profesional, Asrul Nizuan Ariffin. Pihak Osaka Islamic Centre pula diwakili oleh Pengerusinya, Puan Yuko Shafna Mohideen dan Timbalan Pengerusi, Puan Keiko Sakimoto.

Osaka Islamic Centre (Osaka Grand Masjid) merupakan institusi Islam yang amat aktif dalam pembangunan komuniti Muslim di Jepun, di mana perkhidmatannya berkembang daripada usaha komuniti sejak awal tahun 1990-an sebelum berdaftar secara rasmi sebagai badan keagamaan pada tahun 2023. Selain berfungsi sebagai tempat ibadah dan pusat solat berjemaah, OIC menyediakan pendidikan Islam untuk kanak-kanak dan dewasa, program pembangunan belia, kebajikan sosial, dialog antara agama, serta program pertukaran budaya. Seiring dengan majlis pemeteraian tersebut, sesi lawatan turut diisi dengan program pemindahan ilmu melalui perkongsian produk penyelidikan UiTM iaitu EzySunnah, serta Dambola yang merupakan inovasi syarikat pemula Malaysia, selain sesi perbincangan interaktif bersama pengurusan OIC dan wakil komuniti setempat.

Dalam perbincangan hala tuju kerjasama, pihak Osaka Islamic Centre turut berkongsi cabaran pembangunan komuniti Islam di Jepun, terutamanya berkaitan penyediaan sistem pendidikan Islam berstruktur, keperluan tenaga pengajar yang diiktiraf, pembangunan kepimpinan imam dan guru, serta integrasi teknologi dalam pengurusan fasiliti. Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak telah mengenal pasti empat bidang utama kerjasama merangkumi pembangunan komuniti dan kebajikan sosial; pendidikan, penyelidikan, dan pemindahan ilmu; mobiliti pelajar dan staf menerusi latihan industri dan service learning; serta pengembangan inovasi dan pembangunan industri berasaskan penyelesaian teknologi kemasyarakatan.
Secara keseluruhannya, pemeteraian MoU ini menjadi langkah strategik dalam memperluaskan jaringan global UiTM Cawangan Perak menerusi pendekatan kolaborasi yang berteraskan khidmat kepada masyarakat antarabangsa. Hubungan strategik ini diharapkan dapat menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan lebih banyak program pemindahan ilmu, penyelidikan, mobiliti akademik, dan khidmat masyarakat antara UiTM Cawangan Perak dan Osaka Islamic Centre pada masa hadapan.
Penulis:
Dr. Nor Azalina Yusnita Abdul Rahman
Koordinator Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni
UiTM Cawangan Perak
Penyunting
Profesor Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani
Timbalan Rektor
