
SERI ISKANDAR, 25 Jun 2026 – Penyelidikan bertajuk Hydroscape-Q: Landscape Influence on Urban River Water Quality oleh pasukan penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak berjaya meraih Anugerah Kategori Research sempena Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) 2026, anjuran Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM). Majlis penyampaian anugerah telah berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.
Penyelidikan ini diketuai oleh Dr. Atikah Fukaihah Amir bersama Cik Siti Syamimi Omar dan LAr Khairul Adham Ibrahim daripada Program Senibina Landskap, Jabatan Alam Bina dan Teknologi (JABT), Fakulti Alam Bina, UiTM Cawangan Perak. Kajian ini memfokuskan kepada pengaruh landskap terhadap kualiti air sungai bandar melalui penilaian hubungan antara guna tanah, keadaan landskap dan parameter kualiti air sebagai asas kepada cadangan strategi remediasi landskap yang lebih mampan.
Hydroscape-Q dibangunkan sebagai satu kerangka penyelidikan yang mengintegrasikan penilaian landskap dengan analisis kualiti air bagi membantu memahami bagaimana perubahan guna tanah mempengaruhi keadaan sungai bandar. Dapatan kajian ini menyokong pembangunan strategi remediasi landskap berasaskan Nature-based Solutions (NbS) serta berpotensi menjadi rujukan kepada pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan pengamal profesional dalam pengurusan landskap bandar secara lebih lestari.
Kejayaan penyelidikan ini turut disokong oleh penglibatan 26 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap menerusi kursus LAN654 Remediation in Landscape Architecture, yang terlibat dalam aktiviti pengumpulan data lapangan, pemerhatian tapak dan analisis awal. Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan penyelidikan, malah memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pengalaman penyelidikan sebenar serta memupuk budaya penyelidikan dalam kalangan bakal profesional landskap.
Menurut Dr. Atikah Fukaihah Amir, pengiktirafan yang diterima daripada ILAM menjadi satu pengiktirafan bermakna terhadap usaha penyelidikan yang dilaksanakan secara kolaboratif antara pensyarah dan pelajar. Beliau berharap Hydroscape-Q dapat terus dikembangkan sebagai kerangka penyelidikan yang menyokong pengurusan landskap bandar berasaskan bukti (evidence-based) serta membuka peluang kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan industri.
Kejayaan ini membuktikan komitmen UiTM Cawangan Perak dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi serta menghasilkan penyelesaian yang menyumbang kepada pembangunan bidang Senibina Landskap di Malaysia. Selaras dengan aspirasi pembangunan mampan, penyelidikan Hydroscape-Q turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, melalui pendekatan saintifik dalam memperkukuh pengurusan landskap dan kualiti air sungai bandar.
