
KOTA KINABALU, 25 Mei 2026 – Melalui Kempen MPP Care: Penyerahan Sumbangan Laptop anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, seramai 35 pelajar Asnaf Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menerima sumbangan komputer riba daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung baru-baru ini.
Program ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar asnaf serta memastikan mereka mempunyai peranti yang mencukupi bagi mengikuti proses pembelajaran, melaksanakan tugasan akademik dan mengakses pelbagai platform pendidikan secara dalam talian. Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, Ts. Dr. Ajimi Jawan, kempen MPP Care dan bantuan yang diberikan amat bermakna khususnya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kekangan untuk memiliki komputer riba sendiri. Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kebajikan dan keperluan pendidikan mahasiswa.
“Komputer riba merupakan keperluan asas dalam dunia pendidikan masa kini. Sumbangan ini bukan sahaja membantu pelajar mengikuti pengajian dengan lebih lancar, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik mereka,” katanya.
Pemilihan penerima dibuat berdasarkan proses saringan yang teliti oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang tergolong dalam kategori asnaf serta memerlukan bantuan peranti untuk tujuan pembelajaran.
Salah seorang penerima menyatakan rasa syukur dan terharu atas bantuan yang diterima. Menurut beliau, komputer riba tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pembelajaran dan diharap dapat membantu meningkatkan prestasi akademik sepanjang tempoh pengajian.
Kerjasama antara Majlis Perwakilan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Sabah dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan pendidikan serta memastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan ekonomi dan akses kepada teknologi.
Melalui inisiatif seperti ini, diharapkan lebih ramai pelajar daripada golongan berkeperluan dapat menikmati peluang pendidikan yang lebih inklusif, sekali gus melahirkan graduan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Penulis: Muhamad Nursyukri Adha Bin Jamalul
Editor: Nurul Huda Roslan
